KETERUJAAN mempamerkan hasil kejayaan dalam bidang kerjaya kepada rakan dan masyarakat sekeliling antara faktor golongan anak muda mudah terjebak dengan perbuatan rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor berkata, perasaan mahu menunjuk-nunjuk pencapaian dalam kerjaya mengheret golongan belia terlibat dengan rasuah bagi menampung perbelanjaan mewah dan aktiviti sosial masing-masing.
Menurut beliau, darah muda yang tidak sabar mahu menunjukkan kemewahan hidup sebelum tiba masa sebenar menjadikan mereka mudah terjebak dengan amalan rasuah.
“Golongan belia dan anak-anak muda ini sangat tidak sabar mahu menunjukkan kejayaan biarpun sebenarnya mereka masih belum benar-benar berjaya dalam kerjaya masing-masing.
“Sekiranya mahu memiliki telefon bimbit, mereka mahukan yang terkini dan mahal. Sebenarnya hanya mampu membeli rumah apartmen, namun beli rumah jenis kondominium mewah. Kenderaan juga mahu yang berjenama mewah.
“Bagi menampung gaya hidup mewah, boros berbelanja dan suka berfoya-foya yang tidak kena dengan gaji bulanan diterima, maka akhirnya terjebaklah mereka dengan perbuatan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Razim berkata, menerusi kedudukan dan jawatan yang dipegang, peluang menerima rasuah boleh dicipta dengan menggunakan kreativiti masing-masing.
Beliau memberitahu, bekerja di sektor swasta dilihat memudahkan lagi golongan belia dan anak muda mencipta peluang terlibat dengan rasuah berbanding berkhidmat dalam kerajaan.
Jelasnya, standard of procedure (SOP) tugas yang ketat di dalam jabatan kerajaan dan pengesahan pemilikan harta antara ‘jalan sukar’ untuk penjawat awam hidup bermewah-mewah dengan hasil rasuah.
Namun katanya, petugas di sektor swasta mungkin lebih mudah menerima rasuah ekoran pemantauan kurang daripada pihak majikan.
“Semuanya bergantung pada diri sendiri. Kekurangan jati diri sebenarnya mengundang seseorang itu terlibat dengan rasuah, sama ada menerima atau memberi rasuah.
“Sekiranya dapat mengawal hawa nafsu dan tahu mana yang benar atau batil, seseorang itu biar apa jua jawatannya, dia pasti tidak akan terlibat dengan amalan rasuah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, golongan belia dan anak muda yang terlibat rasuah adalah mereka yang gopoh dan tidak berfikir panjang tentang masa hadapan.
Tegas beliau, sekiranya tertangkap oleh pihak berkuasa, masa hadapan akan musnah dan segala kerjaya yang dibina akan hancur.
“Ini bukan salah didikan kerana ibu bapa dan guru telah memberi tahu agar tidak mengambil hak orang lain.
“Namun akibat nafsu mengatasi segalanya, maka semua nasihat dilupakan. Kemewahan sementara dikejar dan melupakan balasan yang bakal diterima di kemudian hari,” katanya.
Ukur baju badan sendiri
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemuda Gema (Gema), Nasim Ralim turut bersetuju bahawa gaya hidup mewah tanpa mengukur badan sendiri menjadi faktor utama belia terjebak dengan rasuah.
Katanya, gaji bulanan yang tidak mencukupi mendorong kumpulan tersebut berjinak-jinak dengan rasuah, seterusnya menjadi amalan atau rutin hidup.
Menurutnya, peluang terbuka untuk disogok dengan imbuhan lumayan menyebabkan anak muda hilang prinsip hidup biarpun merupakan graduan lepasan universiti atau kolej ternama yang menerapkan nilai budi tinggi.
“Semua ini disebabkan jati diri yang lemah, nafsu menguasai diri dan tamak mengejar kemewahan hidup.
“Gaya hidup bebas dan mewah dalam kalangan anak muda mendorong mereka memperoleh pendapatan tambahan menerusi jalan yang salah,” katanya.