Home Rasuah Busters Mahkamah perlu tegas elak lengah proses perbicaraan

Mahkamah perlu tegas elak lengah proses perbicaraan

0
Mahkamah perlu tegas elak lengah proses perbicaraan

SHAH ALAM – Mahkamah perlu tegas dan elak sebarang usaha memudahkan pasukan peguam bela bagi perasuah memanipulasikan isu-isu teknikal perundangan serta melengahkan proses perbicaraan.

Pengarah Gerakan Reset Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, langkah tersebut wajar dilakukan bagi memastikan gejala rasuah di negara ini dapat dibendung.

Ujar beliau, meskipun pelaksanaan hukuman terhadap perasuah dan koruptor amat berat namun ia selalu memfokuskan pada rakyat marhaen dan jarang dikenakan kepada bangsawan, orang politik dan nama-nama besar dalam negara ini.

“Mereka (golongan elit) digambarkan dengan mudah boleh terlepas dari pertuduhan apabila mampu mengambil peguam yang berpengalaman dengan harga yang mahal.

“Teknikal perundangan kita yang terlalu lama dan panjang sehingga orang yang telah dihukum pada dua tingkatan mahkamah tetap menikmati segala bentuk keistimewaan dan penghormatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, secara hukumnya, tertuduh masih boleh lagi bebas selama mana mereka tidak selesai keseluruhan proses penghakiman tiga lapisan mahkamah.

“Tetapi ia telah memberikan satu mesej yang silap untuk sesetengah pihak supaya boleh melakukan jenayah rasuah dan punyai kaedah terlepas dari hukuman.

“Ini termasuk peranan Pejabat Peguam Negara yang telah direkodkan beberapa kali membatalkan pertuduhan yang telah bermula dimahkamah melibatkan individu politik sehingga pertuduhan jenayah rasuah dan korupsi digugurkan tanpa sebarang sebab atau sebab yang logik.

“Kesemua keadaan ini telah menghantar mesej yang sangat salah kepada masyarakat awam sehingga jenayah rasuah dianggap tidak mempunyai konsekuensi yang punitif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar semua agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara dibebaskan dan diletakkan di bawah Parlimen.

Menurutnya, masyarakat juga perlu dinormalisasikan untuk menolak segala bentuk kejahatan dan jenayah.

“Orang agama dan budayawan Melayu perlu bangkit dan mendidik Melayu Islam menolak rasuah dan korupsi, tidak mendewakan orang jahat dan penjenayah serta membetulkan kompas moral masyarakat Malaysia,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here