SHAH ALAM – Kerajaan disaran supaya mewujudkan mekanisme pemilihan yang jelas dan telus untuk melantik kepimpinan dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, pelantikan itu perlu melalui badan, panel atau lembaga tertentu seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Parliamentary Select Committee).
“Badan, panel atau lembaga itu hendaklah dianggotai oleh ahli berpengalaman luas selain dari pelbagai latar belakang yang relevan sama ada dari sektor awam ataupun sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Selain itu, kriteria yang jelas dan spesifik perlu dibangunkan berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA ditangguhkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan itu telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan terdapat beberapa kekeliruan.
Badlishah turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelantikan tersebut agar memilih individu yang benar-benar kompeten, berintegriti dan mampu memimpin serta memacu badan berkanun, syarikat MOF dan GLC supaya lebih berdaya maju.
“Kompeten bermaksud mempunyai keupayaan, ilmu dan juga kemahiran untuk melaksanakan tugas kepimpinan dengan jayanya. Integriti pula merujuk kepada sifat kejujuran dan berpegang kepada prinsip-prinsip moral yang utuh.
“Lapan karakter bangsa, yang dimuatkan dalam deklarasi bersama Ikram, Wadah dan Sinar Harian pada 14 November 2022 wajar dijadikan kriteria selain ciri dalam memilih kepimpinan tersebut iaitu berkemampuan, berdaya maju, amanah dan berintegriti, kasih sayang, jujur, berkeadilan, utamakan rakyat dan berprinsip,” jelasnya.
Dalam pada itu, Badlishah berkata, kriteria pemilihan sewajarnya menekankan calon kompeten mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman bersesuaian dengan kemahiran serta integriti yang memenuhi lapan karakter bangsa tersebut.
“Dengan kata lain, calon yang dipilih mestilah ‘job-fit’ dan ‘strategy-fit’ bersesuaian dengan keperluan jawatan yang dicalonkan’,” ujarnya.
Beliau berkata, menerusi proses pemilihan atau pelantikan pemimpin yang jelas, diinstitusikan dan telus maka calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria-kriteria telah ditetapkan.
“Ini sama ada calon tersebut dalam kalangan ahli politik mahupun bukan.
“Apa yang penting adalah calon kepimpinan yang terbaik mestilah dipilih untuk kebaikan negara khususnya jawatan-jawatan mempunyai kepentingan awam dan melibatkan dana awam,” jelas beliau.