Home Rasuah Busters Kuat kuasa tindakan tatatertib

Kuat kuasa tindakan tatatertib

Kuat kuasa tindakan tatatertib

SHAH ALAM – Kerajaan perlu lebih tegas menguatkuasakan tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan agar budaya rasuah dan salah guna kuasa dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gerakan (QIAM), Datuk Seri Dr Isahak Yeop Mohamad Shar berkata, antara tindakan yang perlu dikuatkuasakan adalah pengisytiharan harta.

“Ketua-ketua jabatan pula perlu memantau sekiranya pendapatan kakitangan mereka melebihi pendapatan sepanjang mereka berkhidmat.

“Sekarang ini pun kita lihat ramai ahli politik bersekongkol dengan pegawai kerajaan bagi tujuan tertentu. Justeru, untuk membanteras rasuah, tindakan pemantauan perlu dilakukan segera,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem yang ada termasuk kenaikan pangkat, pertukaran pegawai-pegawai awam dan juga sistem latihan kepada pegawai awam.

“Ini kerana jika mereka tidak diberi nafas baharu, kita takut mereka berada ditakuk lama. Jadi, pelaksanaan kursus-kursus tertentu kepada pegawai awam amatlah penting,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Isahak berkata, kejadian rasuah boleh berlaku melalui tiga peringkat.

“Peringkat pertama, individu yang melakukan rasuah hanya untuk kepentingan dirinya sahaja. Kemudian kedua, di peringkat sindiket. Ia melibatkan lebih daripada satu orang yang mana kebanyakannya berlaku di organisasi awam.

“Peringkat ketiga pula, rasuah sistemik (systemic corruption) yang mana berlaku lebih meluas. Sekarang kita dapat lihat ahli-ahli politik kerap bersekongkol dengan pegawai tinggi awam untuk tujuan tertentu.

“Malah, ada juga pegawai kanan polis akhir-akhir ini dicampuri dengan kepala gengster. Di sini dah jadi sistemik. Keadaan inilah yang menyebabkan negara menjadi huru-hara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here