Home Koronavirus Pesakit Covid-19 di Besut datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat

Pesakit Covid-19 di Besut datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat

0
Pesakit Covid-19 di Besut datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat

KUALA TERENGGANU – Penularan Covid-19 di daerah Besut amat membimbangkan dengan kadar insiden 117 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak lapan daripada 16 kes kematian dilaporkan ketika ini membabitkan penduduk daerah Besut.

“Mereka yang meninggal dunia ini datang ke hospital dalam keadaan sudah tenat. Terdapat empat pesakit dari Besut dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Setiap hari berpuluh kes dilaporkan di daerah Besut dan sebanyak 45 kes baharu direkodkan hari ini (Sabtu), manakala lapan kluster aktif sedang menular di daerah ini,” katanya menerusi hantar di Facebook beliau pada Sabtu.

Nor Azimi berkata, setakat ini kluster terbesar direkodkan ialah Kluster D’Lahar dan Kuster Tok Has melibatkan ratusan kes positif.

Sementara itu, beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Besut akan gagal sekiranya tumpuan diberikan terhadap larangan rentas negeri dan daerah, sedangkan dalam masa yang sama rakyat masih bebas berkumpul di sana sini.

“Keadaan akan diburukkan lagi sekiranya tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan amalan menjaga kebersihan tangan,” katanya.

Justeru, beliau meminta agar penduduk Besut terus mengehadkan pergerakan dan mengelak berkumpul dalam jumlah yang ramai.

Kerajaan pada Khamis mengumumkan pelaksanaan PKP di Besut selama 14 hari bermula Jumaat bagi mencegah penularan lebih besar angka jangkitan akibat Covid-19 di daerah itu.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi laman Facebook pada Sabtu merekodkan sebanyak 71 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 4,799 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here