Home Rasuah Busters 'Kuasa rakyat bersihkan Malaysia daripada rasuah'

'Kuasa rakyat bersihkan Malaysia daripada rasuah'

0
'Kuasa rakyat bersihkan Malaysia daripada rasuah'
Hussamuddin (tengah) turut menyatakan pandangan dalam mesyuarat di Bangunan Parlimen pada Khamis. – Foto Sinar Harian MOHD NASARUDIN TALKAH

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama mendukung inspirasi Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah bagi menjayakan #MalaysiaTanpaRasuah.

Menyifatkan penubuhan KRPPM sebagai satu sinar baharu untuk Malaysia, Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, gerakan kebersamaan rakyat dituntut dalam menjayakan agenda berkenaan bagi membebaskan negara dari budaya rasuah yang membarah.

Beliau berkata, hanya dengan kuasa rakyat yang turut mendukung hasrat KRPPM akan dapat merealisasikan Malaysia supaya bersih daripada rasuah.

“Saya amat bersyukur kerana kerja keras di pihak pasukan Rasuah Busters serta rakan-rakan gabungan dan pakar-pakar selama ini dapat menjayakan penubuhan KRPPM, Integriti, Governan dan Anti Rasuah.

“Kita berharap apa yang Rasuah Busters perjuangkan untuk membersihkan #MalaysiaTanpaRasuah dapat dipercepatkan dengan adanya KRPPM, serta komitmen yang diberikan ahli-ahli Parlimen semua parti.

“Ini merupakan sinar baharu untuk rakyat Malaysia. Insya-ALLAH kita berharap usaha ini mendapat sokongan semua pihak termasuk daripada rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Hussamuddin berkata, suara ramai yang bergema menolak perbuatan rasuah jika dipadukan bersama pembuat dasar, pakar dan masyarakat sivil bakal memberi impak positif terhadap kesihatan moral negara.

“Walaupun Rasuah Busters baru setengah tahun ditubuhkan, dari segi impaknya, kita sudah nampak.

“Kita bukan hanya bergerak sendirian tetapi telah mendapat sokongan rakyat apabila hampir 600 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyatakan kebersamaan,” ujar beliau.

Sasar letakkan Malaysia 10 terbaik dunia dalam CPI

Dalam pada itu, Bendahari KRPPM, Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu kumpulan itu menyasarkan untuk meletakkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di kedudukan 10 terbaik dunia.

Katanya, pencapaian itu tidak mustahil menjadi kenyataan meskipun dijangka akan berhadapan cabaran getir.

“Kita meletakkan impian untuk negara berada di atas 10 terbaik daripada segi kedudukan CPI. Ini sesuatu yang sangat mencabar sebenarnya, namun saya percaya berbekalkan iltizam dan sokongan rakyat, insya-ALLAH bakal menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

“Mungkin ia mengambil masa yang panjang tetapi usaha ke arah itu telah kita lakukan,” katanya kepada Sinar Harian di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Untuk rekod, kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada tahun 2020.

CPI Malaysia pada tahun 2020 juga jatuh enam anak tangga daripada kedudukan 51 pada 2019.

10 negara yang menduduki kedudukan teratas dalam CPI 2021 ialah Denmark dengan skor 88, Finland (88), New Zealand (88), Norway (85), Singapura (85) dan Sweden (85), Switzerland (84), Belanda (82), Luxembourg (81) dan Jerman (80).

Di antara negara ASEAN dalam CPI 2021, Malaysia kekal berada di tangga ketiga selepas Singapura dan Brunei seperti pada tahun 2020.

Di peringkat negara Islam pula, Malaysia kekal berada di kedudukan keenam seperti tahun 2020. Lima negara teratas ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Brunei, Oman dan Arab Saudi.

Amiruddin berkata, perubahan kedudukan CPI Malaysia adalah penting bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan baik selain meningkatkan persepsi dunia terhadap Malaysia, sekali gus membawa masuk pelabur dalam dan luar negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking yang merupakan ahli KRPPM berkata, penubuhan KRPPM salah satu usaha rentas parti yang bersatu hati menolak perbuatan rasuah.

Menurutnya, ia sebagai satu perkara penting dalam menjayakan kempen #MalaysiaTanpaRasuah.

“Saya bangga berada dalam KRPPM ini. Sekurang-kurangnya ada usaha bersama bagi menyemai budaya malu memberi dan menerima rasuah,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here