Home Rasuah Busters Kronisme, nepotisme jadi benteng kepada perasuah

Kronisme, nepotisme jadi benteng kepada perasuah

0
Kronisme, nepotisme jadi benteng kepada perasuah

SHAH ALAM – Budaya kronisme dan nepotisme menjadi benteng kepada pemberi dan penerima rasuah untuk berselindung dalam sesebuah organisasi terutama pentadbiran kerajaan.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) Selangor, Faridah Mat Hussin berpendapat, sekiranya kerajaan telus dalam membanteras budaya rasuah dan salah guna kuasa, maka budaya tersebut perlu dirobohkan segera.

“Budaya rasuah berlaku apabila nilai integriti seseorang itu lemah selain wujud sifat tamak dalam diri kerana ingin hidup mewah melebihi daripada pendapatan yang diperoleh.

“Malah ia berlaku apabila wujud kelemahan daripada aspek kawalan dalam organisasi dan juga sistem serta prosedur kerja yang membolehkan pelaku mengambil kesempatan melakukan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Nepotisme bermaksud melebih-lebihkan saudara-mara yang mempunyai pertalian, manakala kronisme pula merujuk kepada amalan mengutamakan teman rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan dan pemberian sesuatu projek untuk keuntungan pihak mereka.

Dalam pada itu, Faridah berkata, kerajaan perlu memberikan ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara bebas selain memberikan kuasa kepada agensi berkenaan untuk mendakwa individu yang terlibat dengan rasuah.

“Jaminan untuk menjalankan siasatan secara bebas dan kuasa untuk mendakwa perlu diberikan kepada pihak SPRM,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya penjawat awam berani tampil sebagai pemberi maklumat atau saksi bagi mendedahkan salah laku yang berlaku dalam perkhidmatan awam.

“Masing-masing perlu memberikan sokongan kepada agensi penguat kuasa yang berkaitan bagi memastikan individu yang telah didakwa atau disabitkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa tidak lagi menduduki mana-mana jawatan berkaitan termasuk lantikan politik.

“Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan suasana yang kondusif terutama dalam aspek peruntukan undang-undang bagi membolehkan mereka yang menyalurkan maklumat dilindungi,” jelas beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here