SHAH ALAM – Rakyat akan berasa lebih selesa jika pemimpin negara ini bersih daripada rasuah dan menunjukkan cara yang betul dalam mentadbir negara dalam keadaan yang lebih baik.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pemimpin seharusnya menjadi tonggak pertama untuk menentukan bahawa rasuah perlu ditolak kerana ia adalah perbuatan jijik dan perlu dihindari.
“Harapan saya, kita perlu menentukan pemimpin-pemimpin kita bersih daripada rasuah. Saya berdoa begitulah, kerana apabila pemimpin kita bersih daripada rasuah, saya merasakan rakyat akan berasa lebih selesa.
“Pemimpin kita sendiri perlu menunjukkan cara yang betul dalam menangani rasuah, seterusnya meletakkan negara ini dalam keadaan yang lebih baik,” katanya dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Tak Peduli Halal Haram yang dikendalikan moderator, Hanif Miswan.
Program itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Fadhlina Sidek Senator dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi.
Sementara itu, katanya, orang ramai perlu memberikan maklumat dan memberikan kesedaran jika ada orang yang dikenali terlibat dengan rasuah.
“Selain itu, pemantauan itu penting supaya ia tidak berlaku di jabatan kita. Setiap tuntutan yang dibuat misalnya, perlu diperiksa sama ada ia benar dan perlu disahkan oleh ketua. Jadi, jenayah rasuah ini boleh dikurangkan jika pemantauan dibuat dengan teliti.
“Kita kena beritahu jika ia adalah satu kesalahan dan ia boleh dikenakan tindakan. Tidak sukar untuk menolak rasuah jika kita mempunyai integriti yang tinggi.
“Maknanya, jika kita tahu ia adalah satu kesalahan, kita tidak akan melakukannya. Apabila kita menolak sesuatu, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“Tapi, kalau kita yang meminta, maknanya kita yang mencari penyakit. Bagi saya, kita perlu tegas dan memberitahu ia adalah satu kesalahan dan mereka tidak akan memberikan rasuah. Kita juga ada kuasa menangkap, kenapa kita tidak tangkap sahaja?” jelasnya.