Home Koronavirus 26,005 kesan sampingan vaksin dilaporkan

26,005 kesan sampingan vaksin dilaporkan

0
26,005 kesan sampingan vaksin dilaporkan

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 26,005 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) iaitu pada kadar 377 laporan bagi setiap sejuta dos sehingga 1 April lalu.

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, ia termasuk 1,526 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 264 laporan dalam kalangan penerima vaksin golongan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun.

“Hasil penilaian ke atas laporan yang diterima, 93 peratus atau 24,182 daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes-kes yang tidak serius.

“Demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

“Kesan-kesan ini biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dr Roshayati menjelaskan, sebanyak 1,823 laporan atau bersamaan 26 laporan bagi setiap sejuta dos pula dikategorikan sebagai AEFI serius berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ujarnya, ia merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukan ke wad atau pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, menyebabkan kehilangan upaya yang signifikan atau memerlukan intervensi untuk mencegah kerosakan kekal tubuh, menyebabkan kecacatan semasa lahir atau disyaki menyebabkan kematian.

“Semua laporan AEFI serius yang diterima ini memerlukan penyiasatan lengkap dan penilaian terperinci sebelum hubung kait kesan yang dilaporkan dan vaksin yang diterima dapat ditentukan.

“Jumlah laporan AEFI serius yang diterima ini termasuk 609 laporan yang melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 460 laporan telah selesai penyiasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK), iaitu tiada kes kematian yang dilaporkan mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin yang diterima.

Katanya lagi, sebanyak 149 laporan masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK.

Sehingga 1 April lalu juga, sejumlah 68,924,040 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan jenama Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca (AZ), Convidecia (CanSino) dan COVILO (Sinopharm).

Menurut Dr Roshayati, setakat 1 April lalu juga, sejumlah 1,340,321 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Jelasnya, sehingga sekarang sejumlah 264 laporan AEFI telah direkodkan melibatkan golongan itu bersamaan kadar 197 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Kadar pelaporan AEFI kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan pelaporan AEFI setakat ini (377 laporan bagi setiap sejuta dos),” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here