Home Rasuah Busters Kesan rasuah lebih buruk daripada penagihan dadah

Kesan rasuah lebih buruk daripada penagihan dadah

0
Kesan rasuah lebih buruk daripada penagihan dadah

SHAH ALAM- Perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan boleh memberi kesan dan impak lebih besar kepada negara berbanding penyalahgunaan dadah kerana ia melibatkan integriti serta amanah.

Sehubungan itu, Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong menggesa kerajaan memberi perhatian serius bagi menangani rasuah dan melakukan pengawalan supaya gejala itu tidak berleluasa sehingga merosakkan sistem peradaban.

Menurut beliau, kerajaan dan rakyat sendiri tidak boleh memandang ringan perbuatan rasuah kerana ia akan memberi kesan buruk terhadap negara khususnya generasi muda.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, gejala rasuah di Malaysia masih dalam keadaan terkawal kerana ia tidak dilakukan secara terang-terangan seperti di sesetengah negara luar.

“Selain itu, masyarakat juga sudah mulai buka mata mengenai rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana isu-isu berkenaan banyak dipaparkan dan dibincang secara terbuka di televisyen dan media cetak,” katanya kepada kru Rasuah Busters, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Emril Nizam menegaskan, seandainya badan-badan penguat kuasa tidak mengawal gejala rasuah dari peringkat awal, dibimbangi akan berlaku ketirisan yang buruk.

Jelasnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting untuk saling mengingatkan agar tidak berlaku rasuah dalam kalangan mereka.

“Pelbagai inisiatif dan kempen telah dilakukan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat, contohnya di media massa, media sosial, sekolah dan di peringkat universiti untuk masyarakat memberi kerjasama memberi input serta maklumat mengenai jenayah rasuah.

“Kita juga perlu melihat sejauh mana tahap kesedaran masyarakat untuk menjadi benteng supaya mereka tidak terjebak dengan rasuah khususnya generasi muda.

“Pada saya, perkara ini juga adalah satu jihad kerana perlu dilakukan bersama-sama dan tidak hanya mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan sahaja dalam menangani rasuah,” tegas beliau.

Tambah Wan Emril Nizam, selain aspek pendidikan, penguatkuasaan juga adalah faktor utama jika mahu perangi rasuah.

“Jika kita lihat, ada beberapa negara luar menggunakan hukuman mati kepada pesalah-pesalah rasuah.

“Hukuman tersebut dibuat untuk memberi kesan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat supaya tidak terjebak dengan jenayah rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here