Home Rasuah Busters Kes rasuah kartel jabatan perolehan sangat serius: SPRM

Kes rasuah kartel jabatan perolehan sangat serius: SPRM

0
Kes rasuah kartel jabatan perolehan sangat serius: SPRM

SHAH ALAM – Pembocoran maklumat dalaman yang berlaku dalam jabatan perolehan sangat serius melibatkan kartel yang mempunyai ratusan lesen perniagaan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Izani Wan Ishak berkata, wujud kartel menguasai jabatan perolehan bagi memperoleh maklumat penting dan sulit berhubung tender atau projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut beliau, menerusi ratusan lesen perniagaan yang dimiliki oleh kartel tersebut, kumpulan itu mampu menghantar seberapa banyak syarikat di bawah kawalan mereka untuk bersaing mendapatkan tender atau projek yang mahu dilaksanakan.

“Maklumat dalaman yang penting itu akan digunakan untuk mengetahui bidang kerja, sebut harga serta pelbagai jabatan yang terlibat dengan tender yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Semua maklumat sulit yang diperoleh ini akan memberi satu kelebihan buat kartel ini untuk membuat bidaan berbanding syarikat lain yang turut sama bersaing mendapatkan projek menerusi tender terbuka.

“Seterusnya kartel ini akan memasukkan syarikat-syarikat di bawah kawalan mereka untuk bersaing merebut tender atau projek tersebut, sekali gus memastikan ahli kartel yang sama mendapat hasil,” katanya dalam satu program bual bicara bertajuk ‘Bersama Memerangi Rasuah’, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4), Rasuah Busters serta Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), selain mendapat sokongan daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Mengulas lanjut, Izani berkata, menerusi ‘orang dalam’, kartel tersebut boleh mengetahui semua maklumat penting termasuk harga siling untuk satu-satu projek.

Jelas beliau, pembocoran maklumat perolehan tersebut boleh bermula daripada petugas dari peringkat pertama jabatan perolehan iaitu kerani yang mempunyai sumber maklumat.

Katanya, pendedahan harga di peringkat jabatan perolehan merupakan pakatan yang dirancang teliti oleh pihak kartel bagi membantu pihak yang memasuki tender.

“Kartel ini akan menghantar 10 hingga 15 syarikat di bawah kawalan mereka untuk memasuki tender setelah mendapat maklumat penting daripada pihak jabatan perolehan.

“Jadi mana-mana syarikat yang terpilih memenangi tender, kartel ini tetap akan dapat hasilnya setelah memberi imbuhan kepada mereka yang terlibat,” tambahnya.

Izani kesal kerana kesan dari pemilihan syarikat atas dasar rasuah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan yang diberikan menjadi begitu tinggi tetapi tidak bermutu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here