Home Rasuah Busters Kerajaan banyak bantu penggiat seni negara

Kerajaan banyak bantu penggiat seni negara

0
Kerajaan banyak bantu penggiat seni negara
Abdullah Mohd Redza
Abdullah pada program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Suara Hati Anak Seni, di sini.

SHAH ALAM – Penggiat seni tanah air menzahirkan kesyukuran atas sumbangan dan keprihatinan kerajaan membantu golongan tersebut terutama ketika berhadapan situasi sukar pandemik Covid-19.

Pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah Mohd Redza berkata, menerusi apa yang diketahui secara peribadi, pelbagai bantuan dan inisiatif diberikan oleh pihak kerajaan adalah mencukupi buat seniman meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan dana dan geran membantu anak seni menjadi kesinambungan terbaik mengharungi era pandemik Covid-19 yang memberi kesan mendalam kepada seluruh lapisan masyarakat.

Menurutnya, meskipun banyak geran disalurkan kerajaan, namun proses untuk memohon peruntukan tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak terlibat.

Jelasnya, perlu ada kumpulan yang memantau atau membantu orang seni terutama penggiat muzik tradisional kerana kebanyakan mereka adalah golongan sudah berusia.

Tidak semua anak seni muzik tradisional cakna tentang bantuan-bantuan tersebut kerana kebanyakan mereka sudah berusia dan tidak mahir dengan teknologi maklumat serta mengisi borang permohonan di dalam talian.

“Situasi sama dihadapi dengan guru saya di Batu Pahat apabila saya sendiri kena membantu dirinya mendapatkan bantuan.

“Namun bagi mereka yang tidak ada orang membantu, mereka kurang bernasib baik apabila saluran bantuan kerajaan itu tidak sampai kepada mereka,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Suara Hati Anak Seni, di sini.

Tambah Abdullah, dilema anak seni terutama mereka terlibat dalam muzik tradisional adalah keupayaan membuat persembahan, tidak kira sama ada membuat persembahan di majlis keramaian atau majlis korporat.

**media[1969535]**

Menurutnya, anak seni sudah alami beberapa fasa termasuk tidak mendapat panggilan persembahan dan kekangan sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, walaupun PKP hanya setahun dua, namun ia memberi kesan yang sangat besar sebab kebanyakan sumber pendapatan anak seni adalah 100 peratus daripada aktiviti persembahan di atas pentas.

“Bagi meneruskan kehidupan dan mempunyai tanggungjawab terhadap anak isteri, perbelanjaan harian dan bulanan, ketika itu ramai anak seni terpaksa bertukar kerjaya dan terpaksa beralih kepada bidang lain bagi menyara keluarga walaupun sebenarnya tidak meminati bidang baharu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai minat anak muda terhadap muzik tradisional, Abdullah yang merupakan pemain gambus terkenal negara berkata, sebagai aktivis dan penggiat seni sewajarnya bergiat aktif bagi dijadikan tauladan kepada generasi muda.

Menurutnya, selain bersedia berkongsi ilmu dengan generasi muda, perkara penting yang perlu dikongsikan dengan anak muda adalah memperkenalkan kembali alat-alat muzik tradisional negara.

Jelasnya, kebanyakan anak-anak muda tidak lagi kenal dengan alat muzik tradisional, malah tidak juga medengar alunan alat-alat muzik tradisional sekerap alat muzik moden.

“Usaha kita sebagai pemuzik dan tenaga pengajar adalah sekerap mungkin membuat persembahan. Paling mudah dibuat sekarang adalah merakam video dan memuat naik di media sosial dengan tujuan anak muda dapat melihat alat muzik tradisional seperti gambus.

“Apabila ia kembali popular dalam kalangan generasi hari ini, mereka akan bertanya dan mencari orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut untuk belajar. Sekiranya ini berlaku, maka barulah ia berkembang.

“Berdosa jika saya tidak menyalurkan ilmu yang ada kepada generasi hadapan. Jika sudah tidak ada lagi pelapis untuk membuat gambus, kemungkinan besar gambus pula akan pupus selepas ini dan satu kesan yang kita sangat takut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here