Home Rasuah Busters 'Kalau tak mahu hukum mati, 'buang' perasuah ke pulau'

'Kalau tak mahu hukum mati, 'buang' perasuah ke pulau'

'Kalau tak mahu hukum mati, 'buang' perasuah ke pulau'
Delegasi veteran tentera yang diketuai Borhan mengadakan kunjungan hormat ke atas pasukan Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf.
Borhan Ahmad

SHAH ALAM – Bagi menjayakan agenda memerangi rasuah, veteran tentera mencadangkan pesalah rasuah ditempatkan di sebuah pulau seperti penempatan pelarian di Pulau Bidong, Terengganu pada suatu masa dahulu.

Bekas Panglima Tentera Ke-12, Jeneral (Bersara) Tan Sri (Dr) Borhan Ahmad berkata, cadangan berkenaan selepas melihat kemungkinan prospek idea itu mampu membuahkan hasil kerana sudah banyak inisiatif lain dilaksanakan, namun Malaysia masih ‘gagal’ membasmi rasuah.

“Kita kalau tak hendak undang-undang hukuman mati, kita hantar ke pulau (pesalah rasuah), contohnya ke Pulau Bidong misalnya tiada orang di sana, sesiapa pesalah rasuah dihukum dan dihantar ke sana.

“Kita bagi mereka makanan untuk mulakan kehidupan di sana, selepas itu kita bekalkan benih, peralatan pertanian untuk mereka menanam.

“Kalau mereka tidak lakukan semua ini, mereka tidak boleh hidup lama, jadi ini satu pengajaran dan hukuman kepada mereka,” katanya pada Rabu.

**media[2119507]**

Terdahulu delegasi veteran tentera yang diketuai Borhan mengadakan kunjungan hormat ke atas pasukan Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf.

Hadir sama, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Nawi Alias, Leftenan Kolonel (Bersara) Rashid Omar dan Leftenan Kolonel (Bersara) Hardial Dhaliwal.

Mereka disambut oleh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Dalam pada itu menyentuh mengenai ancaman rasuah di negara ini, Borhan berkata, negara akan menjadi lebih parah sekiranya tiada sebarang inisiatif dan tindakan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Sebab itu kita hadir menyatakan sokongan kepada Rasuah Busters, kita akan bersama-sama Rasuah Busters dalam menjayakan agenda memerangi rasuah.

“Kita tidak lagi boleh berdiam diri, kalau kita masih tidak lakukan apa-apa Malaysia akan terima akibatnya (hancur kerana rasuah),” katanya.

Rasuah Busters adalah gerakan daripada majoriti rakyat yang muak dengan jenayah rasuah sehingga menyebabkan segelintir masyarakat menjadi ‘miskin’.

Dengan kekuatan gabungan lebih 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diyakini kempen yang dianjurkan itu mampu disebarkan dengan lebih meluas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here