Home Rasuah Busters Jelajah Rasuah Busters seluruh negara

Jelajah Rasuah Busters seluruh negara

0
Jelajah Rasuah Busters seluruh negara

SHAH ALAM – Pasukan Rasuah Busters akan terus menjadi badan pendesak kepada kerajaan serta semua parti politik untuk melaksanakan enam tuntutan yang dibuat oleh badan bebas itu demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dilancarkan pada 11 September lalu merupakan usaha berterusan gabungan lebih 400 badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu melihat negara bebas daripada rasuah dan penyelewengan kuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf menegaskan, gerakan yang dibawa oleh Rasuah Busters bebas daripada pengaruh dan agenda politik.

“Apa yang dilakukan oleh Pasukan Rasuah Busters untuk melihat sebuah negara yang ditadbir urus oleh satu pentadbiran kerajaan yang penuh dengan integriti.

“Maka sebab itu, Rasuah Busters akan terus menjadi badan pendesak kepada kerajaan dan semua parti politik di negara ini untuk berusaha bersungguh-sungguh menjayakan enam tuntutan itu yang dilancarkan pada 11 September lalu.

“Malah sebahagian apa yang dituntut oleh Rasuah Busters ini telah dipersetujui dalam satu memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini supaya apa yang dijanjikan harus dilaksanakan,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Khamis.

Jelajah seluruh MalaysiaBagi memastikan usaha murni enam tuntutan Rasuah Busters itu dapat digerakkan sehingga menjadi sebuah akta diguna pakai di negara ini, Hussamuddin berkata, satu jelajah turun padang ke seluruh negara akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, Rasuah Busters bersama ahli gabungan NGO akan turun ke ‘gelanggang’ bertemu orang ramai bagi memberi penerangan terhadap usaha memerangi rasuah dan penyelewengan kuasa yang dituntut oleh badan bebas itu.

Jelasnya, penerangan secara bersemuka perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai boleh memahami secara jelas mengapa tuntutan Rasuah Busters itu perlu diimplementasikan.

“Kita di Rasuah Busters mahu orang ramai tahu betapa buruknya kesan sekiranya kita semua masih tidak mahu berubah dan membiarkan rasuah serta keadaan salah guna kuasa ini berterusan.

“Perkara yang berlaku ini pastinya akan membuatkan rakyat sengsara, malah boleh menjadikan negara menjadi miskin,” tegas beliau.

Sehubungan itu Hussamuddin berkata, sudah tiba masa untuk seluruh rakyat di negara ini bersatu menolak golongan pemimpin bermasalah, sebaliknya memilih barisan kepimpinan yang mempunyai integriti tinggi.

Tambah Hussamuddin, mesej penting itu perlu disampaikan kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini agar barisan kepimpinan berintegriti tinggi dapat dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Apa yang Pasukan Rasuah Busters harapkan adalah orang ramai boleh berfikir secara rasional untuk memilih pemimpin yang mempunyai integriti tinggi tanpa mengira parti.

“Rakyat atau pengundi tidak lagi perlu taksub kepada parti atau individu tertentu, sebaliknya perlu taksub kepada mereka yang mempunyai nilai murni dan mementingkan integriti dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here