Home Rasuah Busters 'Jangan terlalu kejar angka tontonan'

'Jangan terlalu kejar angka tontonan'

0
Zack Merican
Zack Merican (dua dari kanan) ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Perang ‘Content’ Media Sosial yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM – Setiap kandungan yang dikongsikan dalam media sosial perlu ada nilai dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

Pempengaruh media sosial, Zack Merican berkata, masyarakat tidak perlu terlalu mengejar angka tontonan sehingga mengabaikan manfaat atau mesej yang cuba disampaikan dalam kandungan tersebut.

Ujarnya, pengalaman mencipta konten dari tahun 2011 hingga kini banyak mengajarnya betapa penting perkongsian siaran yang dapat memberi hala tuju kepada orang ramai.

“Dahulu saya buat 'content' kosong sahaja, tontonan sejuta tetapi (penjanaan) duitnya tidak ada. Sekarang contohnya kalau tontonan ada tiga ribu, ‘sales’ (penjanaan duit) mungkin boleh dapat beratus ribu, jika kita tahu.

“Bagi saya ilmu kena ada. Apa-apa sahaja yang kita hendak buat, kita perlu tahu tujuan,” katanya ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Perang ‘Content’ Media Sosial yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut diundang menjadi panelis adalah Pendakwah Selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dan artis, Nubhan manakala Hazlin Hussain bertindak sebagai moderator.

Ulas Zack, kesilapan dan cabaran yang dilalui olehnya dahulu banyak memberi ruang untuk dia menambah baik kandungan yang dikongsikannya pada masa akan datang.

“Pada tahun 2018, saya antara mangsa (kemurungan) yang tidak mahu keluar (rumah). Pada awalnya, saya cakap saya okay, tetapi lama-kelamaan saya makin teruk.

“Sampai tahap mak ayah saya kena ambil isteri dan anak saya keluar daripada rumah, saya duduk berseorangan.

“Pada waktu itu ayah saya banyak beri sokongan pada saya, tetapi orang langsung tidak tahu kerana saya sorok mengenai hal itu,” ujarnya.

Menurutnya, sokongan daripada ahli keluarga dan orang sekeliling turut menjadi faktor dalam membantunya untuk mengubah cara penyampaian kandungan supaya lebih bermanfaat serta mempunyai nilai-nilai positif kepada masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here