SHAH ALAM – Kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, C Sivarraajh akan dipertimbangkan peranan yang sesuai, atas pengorbanannya memberi laluan kepada calon gabungan itu, disifatkan sebagai ‘tidak ubah seperti mengumpan’.
Tampil mengkritik tindakan berkenaan, peguam, Norman Fernandez menegaskan bahawa tindakan itu juga boleh ditakrifkan sebagai memberi dorongan atau rasuah.
Jelasnya, budaya itu juga memperlihatkan satu budaya baharu yang tidak sihat dan akan menjadi amalan biasa satu hari nanti jika dibiarkan.
“Jika PH ingin membawa wadah politik baharu, politik sedemikian tidak patut di bangkitkan,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.
Tegas Norman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menyiasat perkara ini, seandainya wujud unsur-unsur pelanggaran dalam pilihan raya.
Terdahulu, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, Sivarraajh sebelum ini bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak untuk memenangi PRU15 di kawasan itu pada 7 Disember.
Mengulas mengenai penarikan diri Sivarraajh daripada pilihan raya itu, Saifuddin Nasution menjelaskan, ia dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, antara asas yang dikemukakan PH untuk BN menarik diri adalah ekoran keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada BN pada PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Fazril Mohd Salleh berkata, dalam mendepani perkara ini, prinsip yang mesti dipertahankan oleh pemimpin era baharu adalah bersama-sama berganding bahu untuk membangunkan semula negara.
“Jika ingin menjalin kerjasama politik, jangan sampai gadaikan kepentingan rakyat. Budaya kerjasama politik lama, diharapkan tidak diteruskan.
“Menurut apa yang saya faham, Sivarraajh menarik diri tanpa syarat. Ia juga dilihat sebagai timbal balas daripada keputusan calon PH di DUN Tioman yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon BN di sana.
“Saya fikir, itu sudah memadai. Mengapa perlu menjanjikan tempat dalam kerajaan, kalaupun Sivaraajh seorang tokoh muda? Dan persoalannya mengapa Saifuddin keluarkan kenyataan demikian? Adakah ia suatu habuan atas sokongan, sedangkan Perdana Menteri sudah pun berpesan bahawa secara prinsipnya perkara ini tidak harus berlaku dalam kerajaan baharu pimpinan beliau,” tegasnya.
Muhammad Fazril berkata, pemimpin dalam kerajaan juga harus beringat bahawa rakyat, walaupun gembira berlakunya perubahan pucuk pimpinan, tetapi tidak sepenuhnya gembira dengan pemilihan menteri yang menganggotai kabinet.
“Justeru, berjaga-jaga kerana anda adalah pekerja bagi rakyat. Rakyat adalah majikan anda. Jangan sombong dan bekerja dengan amanah. Usah hilang ingatan setelah dapat kuasa.
“Walau bagaimanapun, saya harap Saifuddin sebenarnya tidak bermaksud demikian dan terkhilaf dalam ucapan beliau di pentas kempen itu.
“Saya juga mengharapkan agar janji-janji reformasi institusi, pengukuhan tadbir urus yang baik dan peningkatan transparensi, integriti dan kecekapan pentadbiran kerajaan menjadi keutamaan dalam pentadbiran Perdana Menteri kali ini. Harapan rakyat menggunung, ” katanya.