Home Rasuah Busters Ibu bapa terapkan amalan rasuah dalam diri anak secara tidak sedar

Ibu bapa terapkan amalan rasuah dalam diri anak secara tidak sedar

Ibu bapa terapkan amalan rasuah dalam diri anak secara tidak sedar

SHAH ALAM – Kebanyakan ibu bapa secara tidak sedar menerapkan amalan rasuah dalam diri anak-anak mereka sejak kanak-kanak lagi.

Perunding Komunikasi Keluarga, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, amalan itu adalah dengan memberi hadiah kepada anak bagi menutup kesalahan yang dilakukan terhadap pasangan masing-masing.

“Kadang-kadang sedar atau tidak ada ibu bapa yang merasuah anak-anak untuk menutup kesalahannya. Contohnya si bapa buat kesalahan, dia menyuruh anak diamkan daripada mak dan hasilnya ayah akan bagi duit, gula-gula atau aiskrim. Sedar tidak sedar tindakannya seperti merasuah anak.

“Bukankah aktiviti menerima dan memberi rasuah demi untuk menutup kejahatan. Sebab itulah, saya bertegas bahawa dengan anak pun kena cerita pasal rasuah biar mereka faham sekali gus ibu bapa berasakan ia sebagai reminder kepada diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ibu bapa perlu jelaskan kepada anak-anak mengenai bahayanya aktiviti rasuah berdasarkan daya kefahaman anak-anak.

Mengulas lanjut, beliau yang juga pendakwah berkata, apabila si anak melakukan kesalahan ibu bapa tidak seharusnya menyorokkan perkara buruk yang dilakukan.

“Kalau anak buat salah jangan sesekali sorokkan kesalahan anak daripada ibu atau bapanya seolah-olah benarkan kesalahan anak. Kalau sorokkan benda yang agak sensitif itu kisah lain untuk menjaga aib.

“Tapi kita sorokkan kesalahan anak daripada dimarah seolah-olah mengajar anak kita berbuat dosa. Samalah macam rasuah, benda yang salah tapi kita menutupnya untuk menyelamatkan diri,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, lemah pegangan agama adalah punca amalan rasuah masih berterusan.

“Kita kalah dengan kehendak nafsu sebab nampak duit lebih utama daripada hak ALLAH SWT.

“Jika betul-betul mahu cegah rasuah kena bagi faham agama dulu, betul-betul faham tentang dosa dan pahala kerana ia paling utama,” katanya. Bakhtiar Fitri menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Sinar Rasuah Busters dalam membanteras rasuah di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here