Home Rasuah Busters Hapus rasuah bermula dari kepimpinan tertinggi

Hapus rasuah bermula dari kepimpinan tertinggi

0
Hapus rasuah bermula dari kepimpinan tertinggi

SHAH ALAM – Pemberian rasuah atau ‘duit kopi’ dalam dunia perniagaan boleh dihapuskan sekiranya kepimpinan tertinggi organisasi menonjolkan sisi teladan yang baik dan menolak amalan itu sekeras-kerasnya.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ar Mohd Azli Md Yusof berkata, ketidakupayaan pemimpin untuk memberi contoh yang baik kepada pekerja bawahan boleh membuka lebih banyak ruang dan peluang berlakunya jenayah rasuah.

“Bermula daripada Perdana Menteri, kemudian turun kepada Timbalan Perdana Menteri, menteri, ketua setiausaha negara sehinggalah kepimpinan di peringkat negeri semuanya mesti menzahirkan secara jelas untuk menolak rasuah.

“Perlu adakan kepemimpinan tertinggi sebaiknya di mana orang atasan perlu memberi satu contoh yang baik kepada orang bawah.

“Kadang-kadang pekerja di bawah akan fikir, kalau pihak atasan boleh buat (rasuah), mengapa mereka tidak? Itu yang menjadi punca amalan ini berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Duit Kopi Dalam Perniagaan yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan Pendakwah Bebas, Fauwaz Fadzil manakala Hanif Miswan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Mohd Azli berkata, tidak dinafikan garis panduan yang terlalu ketat boleh menyebabkan individu terpaksa memberi ‘duit kopi’ sebagai habuan demi kelangsungan dan keuntungan perniagaan.

“Kalau tengok semula, pemberi rasuah ini bukan orang senang, tapi mereka terdesak untuk mendapatkan sesuatu, misalnya, permit dan lesen dan yang paling sedih, sekarang ini saluran sumbangan pun boleh ada unsur rasuah.

“Itu yang menyebabkan kita perlu ada satu usaha untuk membanteras perkara ini secara besar-besaran daripada atas ke bawah, luar dan dalam termasuklah menzahirkan dengan lebih jelas menyatakan bahawa kita tidak mahu rasuah serta berani katakan tidak kepada rasuah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here