Home Koronavirus Tarikh akhir 15 Mei untuk dos pertama vaksin Covid-19 kanak-kanak

Tarikh akhir 15 Mei untuk dos pertama vaksin Covid-19 kanak-kanak

0
Tarikh akhir 15 Mei untuk dos pertama vaksin Covid-19 kanak-kanak

SHAH ALAM – Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) memutuskan 15 Mei 2022 sebagai tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun mulai 16 Mei 2022.

Menurutnya, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19 perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi sebelum 15 Mei 2022.

“Selepas tarikh ini, vaksin Covid-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia manakala vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.

“Bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei 2022,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 3 Februari lalu, kerajaan telah melancarkan PICKids sebagai langkah mengurangkan transmisi Covid-19 dan komplikasi jangkitan wabak itu dalam kalangan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, sehingga 12 April 2022, seramai 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin Covid-19 dengan purata pemberian vaksin dos satu sekitar 4,500 dos sehari semenjak tujuh hari yang lalu.

“Berikutan tren permintaan vaksinasi ibu bapa dan penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun, KKM telah mengkaji semula tempoh pelaksanaan PICKids.

“Permintaan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu perlu dibuat,” ujarnya.

Sementara itu katanya, mesyuarat CITF-C turut bersetuju untuk meminda Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 untuk Kanak-kanak bawah 18 tahun.

“Borang baharu ini tidak lagi mempunyai klausa, “Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak akibat keputusan/tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya”.

“Pengguguran klausa ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dan menzahirkan amalan sedia ada yang mana KKM tidak pernah mengabaikan dan sentiasa bersedia menyediakan bantuan kesihatan yang sewajarnya apabila berlaku kesan sampingan yang berkaitan akibat penerimaan vaksin,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here