
SHAH ALAM – Kerajaan disaran menggunakan teknologi pemantauan seperti Sistem Kedudukan Global (GPS), gambar geo-tag atau tag lokasi dan dron bagi memastikan projek penyelenggaraan sungai dilaksanakan mengikut jadual sebenar.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, perkara itu penting kerana pemantauan masih bersifat manual dengan ketiadaan sistem berasaskan data atau teknologi akan memberi kesan negatif dan membawa kepada jenayah rasuah.
Menurutnya, masih banyak agensi menggunakan kaedah lama seperti laporan bercetak, borang manual dan lawatan tapak tidak direkod secara digital.
“Selain itu, perlunya juga ketelusan dalam proses perolehan dan pelaksanaan sistem ‘Integrity Pact’ kepada pegawai kerajaan dan kontraktor kerana jika berlaku salah laku, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Penting juga untuk kita lakukan proses audit tidak melibatkan pengesahan bebas atau pihak ketiga.
“Lazimnya, jika hanya pegawai dalaman memantau kerja kontraktor, ia mewujudkan potensi konflik kepentingan malah ada kalanya pegawai tersebut turut terlibat secara langsung dalam penyelewengan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk pengurusan tertinggi sebuah badan berkanun milik kerajaan kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan kerja penyelenggaraan sungai di sebuah daerah di Kedah, Isnin lalu.
Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan kira-kira 6 petang ketika hadir memberi keterangan di SPRM Kedah.
Dalam pada itu, Zainal Adnan berkata, kes tersebut bukan sahaja menjejaskan integriti pentadbiran tetapi memberi impak sangat serius terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terutama yang menetap berhampiran sungai.
“Ia boleh menyebabkan risiko banjir lebih tinggi dan membahayakan penduduk. Jika kerja penyelenggaraan sungai seperti mendalamkan dasar sungai, membaiki tebing atau membersihkan aliran air tidak dilakukan, ia berisiko untuk berlaku banjir kilat dan banjir besar akan meningkat.
“Nyawa dan keselamatan penduduk menjadi terancam. Dalam masa sama, kerosakan terhadap harta awam akan berlaku dan kos pemulihan selepas bencana jauh lebih tinggi berbanding kos pencegahan,” ujarnya.
Jelasnya, perbuatan ini bukan sahaja merugikan kewangan negara tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan agensi kerajaan.
“Tindakan tegas mesti diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati amanah awam,” katanya.