SHAH ALAM – Usaha membawa remaja seawal usia 18 tahun ke dalam kancah dunia politik bukan satu idea radikal atau perkara luar biasa.
Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi-18, Tharma Pillai berkata, terdapat kurang dari sembilan buah negara yang melaksanakan undi bawah 21 tahun.
Beliau berkata, peluang diberikan kepada individu 18 tahun untuk mengundi dan bertanding merupakan agenda memperoleh suara anak muda, sekali gus memberi peluang kepada golongan tersebut memperkasa negara.
“Kita perlu memberi peluang kepada mereka untuk bersuara secara demokrasi dan menggunakan hak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan negara yang dimahukan.
“Saya berasa sangat bersyukur apabila perjuangan membawa Undi 18 ke Parlimen berjaya, malah had umur untuk menjadi calon juga diturunkan selari dengan usia pengundi bermula pada usia 18 tahun.
“Malah pendaftaran undi secara automatik juga dipersetujui untuk dilaksanakan walaupun terdapat sedikit kesukaran yang dihadapi oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Mengulas lanjut, Tharma berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, penambahan sebanyak 7.8 juta pengundi baharu iaitu peningkatan lebih 50 peratus adalah satu jumlah yang besar.
Menurutnya, rata-rata pengundi baharu cakna berkenaan politik negara terutama memperoleh maklumat tepat mengenai parti-parti bertanding, waima calon yang akan bertanding pada PRU.
Berdasarkan maklumat di hujung jari, katanya, semua parti perlu lebih peka dan tahu cara menarik undi daripada golongan Undi 18 yang bertauliah serta hebat berkenaan asam garam dunia politik negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan yang mahu digunakan oleh parti politik pastinya berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tegasnya, golongan anak muda pada masa ini sama sekali ‘tidak terikat’ dengan mana-mana parti untuk selamanya.
“Kesetiaan akan hanya diberikan kepada parti atau golongan pemimpin yang benar-benar bebas daripada salah laku dan berintegriti,” katanya.