Home Koronavirus Tiada maklum balas daripada kumpulan antivaksin untuk bersemuka

Tiada maklum balas daripada kumpulan antivaksin untuk bersemuka

0
Tiada maklum balas daripada kumpulan antivaksin untuk bersemuka

BERA – Masih belum ada kumpulan antivaksin yang memberi maklum balas untuk bersemuka dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Saya sebut itu (perjumpaan kumpulan antivaksin) hendak bagi penerangan kerana bimbang mereka mendapat maklumat, persepsi yang salah.

“Tapi setakat ini tiada yang bagi maklum balas, belum ada yang kata setuju,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Triang 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus dalam lawatan Noor Azmi ke daerah tersebut.

Pada 18 Oktober lalu, Noor Azmi menyatakan KKM bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja memberitahu perkembangan positif mengenai program tersebut.

“Sasaran kita 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap pada Disember

“Tapi alhamdulillah terima kasih kepada semua yang terlibat, kita telah mencapai dos pertama, 60 peratus pada 6 Oktober dan 80 peratus pada 21 Oktober dan pada tarikh sama (21 Oktober), sebanyak 43.4 peratus telah lengkap dua dos vaksin,” jelasnya lagi.

Tambahnya, KKM menjangkakan remaja di negara ini mendapat dos lengkap vaksin pada 21 November depan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai proses suntikan vaksin ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda pantai timur pertengahan bulan depan, beliau memberitahu, kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar sudah mendaftar untuk mengambil alih program vaksinasi selepas semua PPV ditutup.

“Sekarang pun sudah banyak PPV ditutup, PPV mega ditutup dan kita akan serahkan kepada klinik swasta untuk meneruskan proses vaksinasi.

“Sebelum ini kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan sekarang kita ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program (vaksinasi) ini.

Jelasnya, program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh.

Tambahnya, walaupun kebanyakan PPV sudah ditutup, orang ramai yang masih belum menerima suntikan vaksin boleh mengunjungi klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan janji temu dan suntikan vaksin mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here