Home Rasuah Busters DPMM gesa kerajaan perangi rasuah besar-besaran

DPMM gesa kerajaan perangi rasuah besar-besaran

DPMM gesa kerajaan perangi rasuah besar-besaran

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memerangi rasuah secara besar-besaran hingga ke akar umbi.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, kerajaan harus mengakui bahawa apa jua dasar, pelan tindakan atau hala tuju membangun ekonomi negara tidak akan berjaya mencapai sasarannya selagi mana jenayah rasuah ini tidak dibendung.

Tambah beliau, dalam tempoh 10 tahun antara 2005-2014 sahaja, negara telah kehilangan hampir RM2 trilion daripada aliran wang yang tidak sah dan angka tersebut semakin bertambah.

“Perlakuan rasuah dan pecah amanah pastinya telah menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan pendapatan, kekayaan dan peluang. Hakikatnya, kenaikan kos sara hidup pada hari ini juga disumbangkan oleh amalan rasuah di setiap peringkat rantaian perolehan kerajaan; daripada kuasa politik, penguatkuasaan, pelesenan, proses tender dan sebut harga, hinggalah kepada isu logistik dan tuntutan bayaran.

“63.3 peratus aduan rasuah melibatkan sektor awam, justeru unjuran ratusan bilion ringgit yang diperuntukkan dalam perolehan kerajaan yang sepatutnya menjana infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik sebahagiannya akan masuk ke poket perasuah dan tidak akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra bersama media di Anjung DPMM pada Jumaat.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dan Pengerusi PPIM, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, justeru pihaknya menggesa supaya Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dirangka dapat dikuatkuasakan serta-merta.

Menurutnya, antara tindakan proaktif bagi membendung gejala rasuah dan politik wang yang telah dicadangkan oleh NACP ialah peruntukan baharu dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan kesalahan dalam penjualan projek atau tender kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakannya.

Pada masa sama, Abdul Halim berkata, DPMM akan bersama-sama Karangkraf dalam menjayakan kempen Rasuah Busters tersebut.

“DPMM akan membantu dalam mempromosikan dan juga melaporkan kepada Rasuah Busters atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada jenayah rasuah yang berlaku dalam ahli DPPM,” ujarnya.

Sementara itu, Nasir berkata, Rasuah Busters berada dalam negara semata-mata untuk membebaskan Malaysia daripada belenggu rasuah.

“Sebagai penasihat Rasuah Busters saya menyambut baik gesaan yang dibuat oleh DPPM. Kalau dahulu negara kita berada di tahap baik, sekarang kita dah turun, kalau dibandingkan dengan negara jiran, dulu kita keji mereka, tetapi sekarang mereka paling kuat menentang jenayah rasuah.

“Mereka mengkeji kita, siap buat di aplikasi TikTok, jadi dimanakah kedudukan kita?,” jelasnya.

Kata beliau, amalan rasuah tidak hanya terletak kepada kerajaan semata-mata tetapi masyarakat sendiri yang berkuasa dalam membasmi jenayah tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here