Home Rasuah Busters Contohi Hong Kong lawan rasuah

Contohi Hong Kong lawan rasuah

Contohi Hong Kong lawan rasuah

SHAH ALAM – Malaysia boleh mencontohi Hong Kong dalam melawan rasuah kerana negara berkenaan telah terbukti berjaya menentang perlakuan jijik berkenaan.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Hong Kong merupakan antara negara yang cukup baik dari segi pelaksanaan terhadap pembasmian rasuah.

“Jika dilihat hukuman dan prosedur berkaitan rasuah yang cukup tegas, maka kita dapati mereka berjaya membendung rasuah,” katanya ketika menjadi panel dalam program slot SPRM 360 yang disiarkan menerusi Facebook Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Ahmad Martadha berkata, selain Hong Kong, negara seperti United Kingdom (UK) juga boleh dijadikan negara contoh melawan rasuah.

Menurutnya, UK dianggap antara negara terbaik dalam menguruskan jenayah rasuah bukan sahaja dalam kerajaan bahkan swasta.

“Ini termasuk juga di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai satu sistem pentadbiran yang cukup efektif.

Mana-mana individu atau syarikat-syarikat besar yang terlibat jenayah rasuah akan diambil tindakan dengan kadar segera dan hukuman dikenakan juga adalah sangat tinggi.

“Ini dijadikan satu ‘deterrent’ kepada individu mahu pun kepada syarikat bukan sahaja berada dalam negara bahkan syarikat luar yang beroperasi di negara mereka, ataupun syarikat luar beroperasi di negara luar melakukan transaksi di negara AS,” tegasnya.

Dalam pada itu Ahmad Martadha berharap usaha-usaha mengekang rasuah di negara ini ditingkatkan lagi bagi mencapai matlamat Malaysia bebas rasuah.

“Kita perlu berusaha mendidik dan memastikan semua lapisan masyarakat didedahkan dengan apa yang dilakukan oleh SPRM.

“Kita juga perlu berkerjasama dengan semua pihak bagi mendidik masyarakat berkaitan bahaya jenayah rasuah dan perlu banterasnya dari akar umbi,” katanya.

Tambahnya, kerjasama antara masyarakat dan SPRM juga perlu dipertingkatkan bagi memudahkan pembanterasan rasuah dilakukan.

“Suatu tindakan kualitatif perlu diwujudkan bagi membanteras rasuah melibatkan semua pihak di peringkat bawah hingga atasan bagi menangkap pemberi dan penerima rasuah serta menjatuhkan hukuman kepada pesalah yang mengambil rasuah.

“Ini adalah harapan rakyat dalam membanteras dan mengekang penularan rasuah di negara kita,” katanya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British bagi membasmi rasuah yang telah berleluasa di negara itu sejak tahun 1970-an.

Hong Kong pada era 70-an dikenali sebagai sebuah negara yang cukup korup namun berjaya mengubah negara berkenaan setelah pelaksanaan undang-undang antirasuah yang cukup ketat di negara itu.

Hong Kong yang kembali kepada pemerintahan China pada tahun 1997, mempunyai kerajaan dan sistem undang-undang yang berasingan dari tanah besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here