Home Rasuah Busters Chee Siang azam perangi budaya rasuah

Chee Siang azam perangi budaya rasuah

0
Chee Siang azam perangi budaya rasuah

TANGKAK – “Bagi peluang kepada saya untuk perangi budaya rasuah,” demikian tegas calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Ong Chee Siang.

Beliau yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jabatan Perdana Menteri berkata, dia memerlukan sokongan penuh daripada masyarakat untuk membantunya memerangi amalan rasuah di negara ini.

Tegasnya, secara peribadi dia sangat anti dengan perbuatan rasuah kerana budaya jijik itu bukan sahaja merosakkan nama negara, malah menghancurkan masa depan Malaysia tercinta.

“Rasuah merupakan satu perbuatan yang sangat bahaya dan merosakkan masa depan negara serta masyarakat umumnya.

“Kita perlu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah serta telus.

“Selain itu, barisan kepimpinan negara juga perlu bersih dan bertanggungjawab menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan kempen bertemu pengundi di sekitar pekan Tangkak.

Pasukan Rasuah Busters yang memulakan siri jelajah Konvoi #RasuahBusters ke seluruh negeri Johor bermula Jumaat di beberapa destinasi tumpuan di daerah Tangkak.

Antara lokasi persinggahan pasukan Rasuah Busters pada hari pertama konvoi adalah di Hentian Teksi dan Bas Bandar Tangkak, Medan Selera Bandar Tangkak serta Air Terjun Gunung Ledang.

Selain menyampaikan mesej antirasuah, Konvoi #RasuahBusters bersama rakan gabungan berada di negeri selatan tanahair itu bagi menggerakkan misi pertama Ejen Meow menyemai rasa benci kepada amalan rasuah.

Kempen Ejen Meow juga digerakkan secara besar-besaran sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula semalam sehingga hari pengundian pada 12 Mac nanti.

Sementara itu, ditanya mengenai peluang BN mencatat kemenangan di DUN Tangkak, Chee Siang berkata, peluang adalah seimbang kepada semua calon yang bertanding untuk mencatat kemenangan.

Apa yang penting katanya, jentera parti perlu bekerja keras sepanjang tempoh berkempen, selain meyakinkan masyarakat bahawa BN merupakan parti yang boleh membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Tambahnya lagi, jentera parti perlu menjalankan tugas dengan betul dan melaksanakan segala perancangan yang dirangka dengan penuh teliti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here