Home Rasuah Busters Calon PRN, PRU fokus utama ujian psikometrik RBTag

Calon PRN, PRU fokus utama ujian psikometrik RBTag

0
Calon PRN, PRU fokus utama ujian psikometrik RBTag

SHAH ALAM – Kumpulan calon yang bertanding pada pilihan raya sama ada di peringkat negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan fokus utama pelaksanaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, keutamaan menjalani ujian RBTag melibatkan calon bertanding pada PRN dan PRU adalah penting bagi memastikan pemilihan kumpulan pemimpin yang bersih serta berintegriti tinggi.

Menerusi ujian RBTag katanya, ia merupakan langkah awal sebelum calon-calon tersebut menjadi kumpulan pemimpin negara di peringkat tinggi.

“Kumpulan calon yang bakal bertanding pada PRN dan PRU adalah pemimpin tertinggi negara yang bakal menjadi penggubal dasar kerajaan pada masa hadapan.

“Dengan menjalani ujian RBTag ini, kumpulan calon PRN dan PRU boleh muhasabah diri dengan mengetahui kelebihan serta kekurangan setelah menjalani ujian.

“Malah dengan ujian ini juga dapat membuktikan kesungguhan calon-calon bertanding untuk menjadi kumpulan pemimpin yang bersih daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ujian RBTag melibatkan 21 orang ahli politik di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Sesi ujian tersebut turut melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jumlah keseluruhan individu mengambil ujian RBTag itu adalah sebanyak 34 orang iaitu 21 ahli politik dan selebihnya ialah peserta organisasi daripada rakan gabungan Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Halim berkata, RBTag merupakan alat pengukur untuk mengetahui tahap kecenderungan seseorang terhadap budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Namun begitu menurut beliau, ujian tersebut dilaksanakan bukanlah bertujuan mencari salah atau kelemahan individu yang menduduki ujian, sebaliknya satu proses terbaik dalam meningkatkan keupayaan diri.

“Untuk itu, sokongan penuh daripada pihak kerajaan untuk RBTag adalah sangat diperlukan.

“Bukan hanya calon-calon yang bertanding pada PRN dan PRU perlu menjalani ujian RBTag, malah ujian ini juga boleh dilaksanakan di peringkat penjawat awam dan sektor korporat,” kata Halim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here