Home Rasuah Busters Budaya korupsi sukar berlaku dalam stesen radio

Budaya korupsi sukar berlaku dalam stesen radio

0
Budaya korupsi sukar berlaku dalam stesen radio

SHAH ALAM – Bekas penyampai radio, Ikhwan Lein berpandangan bahawa budaya korupsi sukar untuk berlaku dalam industri muzik tempatan khususnya melibatkan stesen-stesen radio.

Ujar Ikhwan, ia berikutan setiap stesen radio mempunyai sistem tapisan tersendiri yang mana pemilihan lagu akan dilakukan oleh pihak atasan dahulu sebelum ia dimainkan dalam carta radio.

“Kalau nak cerita soal korupsi, zaman saya sendiri untuk kita tengok situasi penyampai radio menerima sogokan untuk memainkan lagu di radio itu tidak mudah.

“Ia kerana sistem untuk memainkan lagu dalam radio akan dipantau oleh beberapa orang di dalam pengurusan itu sendiri,” katanya ketika dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalau Macam Ini, Lingkup Industri Muzik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Zaim Zaini itu turut menampilkan Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Ab Majid serta komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun manakala Zaim Zaini sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Ikhwan berkata, sistem tersebut amat penting bagi memastikan semua lagu-lagu dimainkan mengikut segmen-segmen yang telah ditetapkan.

“Kita ada satu segmen yang dikenali sebagai ‘pilot’ yang mana lagu-lagu yang dimainkan ini telah diberikan (kepada penyampai radio) oleh pihak label sendiri ataupun ada yang bergerak secara bebas.

“Terlalu banyak karya-karya (lagu) di Malaysia ini sehinggakan bila kita nak buat (mainkan lagu di radio), kita terpaksa buat ikut susunan maknanya siapa yang bagi lagu dulu, maka kita kena mainkan.

“Apabila kita mainkan dalam carta tersebut, kita minta pendengar untuk mengundi lagu baharu itu untuk dimainkan dalam carta. Itu cara pengurusan saya yang lepas untuk saya mengendalikan lagu-lagu baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here