Home Rasuah Busters Bersih sokong 6 nota kepada PM usaha basmi rasuah

Bersih sokong 6 nota kepada PM usaha basmi rasuah

0
Bersih sokong 6 nota kepada PM usaha basmi rasuah

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis dan Thomas Fann

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyokong sepenuhnya enam tuntutan dikemukan Pasukan Rasuah Busters kepada kerajaan melalui Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia dapat menangani gejala rasuah yang melanda negara ini.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara itu juga dapat menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia sedang bangkit selain menolak sebarang perbuatan salah laku dan rasuah.

“Bersih menyokong penuh enam tuntutan Rasuah Buster kepada PMX. Ini semua adalah isu yang akan menangani gejala rasuah yang melanda negara kita dan merupakan sebahagian daripada sebab mengapa Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) telah dipilih oleh majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Ini kerana semua tuntutan tersebut adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH.

“Walaupun PH kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan, beberapa tuntutan seperti pengasingan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara dan rang undang-undang pembiayaan politik juga merupakan sebahagian daripada manifesto BN,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, pasukan Rasuah Busters mengemukakan enam nota kepada kerajaan melalui PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia melibatkan tuntutan pelaksanaan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik

Hussamuddin berkata, ia turut menuntut transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.

Dalam pada itu, Thomas mengingatkan bahawa kedua gabungan parti seperti PH dan Perikatan Nasional (PN) berkempen atas platform anti-rasuah.

“Sekiranya PMX tidak melaksanakan reformasi tersebut dalam separuh pertama tahun ini, ramai daripada pengundi mereka akan kecewa dengan janji kosong kerajaan baharu.

“Jadi enam pilihan raya negeri akan datang merupakan peluang untuk pengundi menunjukkan kekecewaan mereka,” jelasnya.