Home Rasuah Busters Bengkel Perancangan Senario nilai keberkesanan NACP

Bengkel Perancangan Senario nilai keberkesanan NACP

0
Bengkel Perancangan Senario nilai keberkesanan NACP

KUALA LUMPUR – Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sedang mengumpulkan input daripada pelbagai pemegang taruh bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang diperkenalkan empat tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, langkah itu penting memandangkan pelaksanaan NACP 2019-2023 akan memasuki tahun kelima pada tahun depan, sekali gus memerlukan penilaian tentang keberkesanannya dari pelbagai sudut.

“Kita hendak bergerak ke hadapan, dalam setahun lagi kita akan memasuki tahun kelima, tempoh penuh pusingan pertama NACP.

“Jadi, kita hendak menilai balik keberkesanan agenda pelan ini, bagaimana kita hendak ke hadapan, sama ada menambah baik agenda-agenda yang telah digariskan sebelum ini atau bagaimana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Perancangan Senario Dalam Konteks Governans, Integriti dan Antirasuah di Institut Integriti Malaysia di sini pada Khamis.

Bengkel selama dua hari itu disertai wakil pelbagai kementerian dan pertubuhan masyarakat sivil.

Mohd Sallehhuddin berkata, NACP 2019-2023 merupakan satu ‘dokumen hidup’ yang diperkenalkan susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), memberikan penekanan kepada usaha memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Kerajaan memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini dan ia dilihat sebagai dokumen utama yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah.

Ia merupakan pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan.

Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas dalam kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan, dan para pemegang taruh dijangka membangunkan OACP dalam manangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah di organisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhuddin berkata, mengambil kira pelbagai perkembangan kebelakangan ini, termasuk dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 mengenai kedudukan Malaysia, sudah tiba masa untuk melihat keperluan menilai pelan sedia ada.

“Kita akan mendapatkan pandangan dan input pelbagai pihak bagi memantapkan agenda dan visi NACP. Bengkel ini adalah permulaan.

“Kami akan adakan banyak lagi sesi perbincangan dan percambahan minda ke arah itu,” katanya.

Tambah beliau, GIACC berpuas hati dengan hasil perbincangan dua hari ini yang telah menghimpunkan banyak hasil yang konstruktif dan kesemua pandangan akan dinilai untuk menentukan tindakan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here