Home Rasuah Busters 'Amaran PM pecat menteri rasuah tambah keyakinan rakyat'

'Amaran PM pecat menteri rasuah tambah keyakinan rakyat'

0
'Amaran PM pecat menteri rasuah tambah keyakinan rakyat'
Muhammad Fazril

SHAH ALAM – Amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung akan memecat serta-merta menteri terlibat rasuah disifatkan sebagai penting dalam menaikkan kembali keyakinan rakyat terhadap pemimpin tertinggi negara.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Fazril Mohd Salleh berkata, pemimpin politik mesti menjadi pemimpin contoh kepada rakyat dan tindakan Anwar itu dilihat sebagai sesuatu yang sangat baik dalam memberi contoh ‘kepimpinan melalui teladan’.

Tegasnya, gejala rasuah yang membarah dalam negara mesti dirawat, tambah lagi dengan komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu, pastinya memberi harapan kepada rakyat.

“Secara peribadi, saya memuji komitmen Perdana Menteri ini dan yakin beliau dapat laksanakannya, sekiranya beliau mampu memacu seluruh kepemimpinan jemaah kabinetnya ke arah matlamat yang sama.

“Saya yakin, menteri-menteri pastinya menerima tamparan daripada kenyataan PM itu. Para pentadbir akan lebih berhati-hati dan sebaik mungkin mengikuti prosedur agar tidak tergelincir,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Pada Ahad, Anwar menegaskan kepimpinan beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya budaya rasuah wujud dalam kerajaan pimpinannya.

Kata Anwar, penegasan itu sudah beliau maklumkan kepada jemaah menteri dan ketua-ketua parti komponen.

Menurutnya, peringatan itu bukan bersifat politik sebaliknya merupakan keyakinan beliau untuk membebaskan negara daripada rasuah.

Dalam pada itu, Muhammad Fazril turut mengingatkan bahawa dalam kabinet menteri itu sendiri terdapat mereka yang terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan sebelum ini serta masih lagi dibicarakan.

“Justeru, rakyat tertunggu-tunggu apakah yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Tambahnya, bagi ‘merealisasikan’ hasrat Perdana Menteri itu tekanan daripada rakyat mesti terus berlaku, agar para pemimpin dan pentadbir tidak sewenang-wenangnya melakukan kecurangan dalam menjalankan amanah rakyat.

“Anwar perlu buktikan selepas ini, ciri-ciri pentadbiran berintegriti, telus, transparen dan bertanggungjawab dapat dijelmakan.Saban tahun kita menyaksikan tanda-tanda kecurangan pemimpin menerusi laporan audit negara.

“Oleh yang demikian, rakyat ingin melihat bagaimana natijah laporan audit negara era pemerintahan Anwar. Dalam masa yang sama, “keajaiban” yang sering berlaku membabitkan pemimpin politik yang terlepas daripada kes-kes yang disabitkan di mahkamah juga diharap tidak berlaku lagi. Anwar harus memastikan kuasa beliau tidak menganggu gugat sistem judisari di negara ini,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here