Home Rasuah Busters Ada syarikat guna maklumat palsu raih kontrak kerajaan

Ada syarikat guna maklumat palsu raih kontrak kerajaan

0
Ada syarikat guna maklumat palsu raih kontrak kerajaan

SHAH ALAM – Pemalsuan bukti kelayakan dan penggunaan syarikat palsu dikenal pasti antara taktik digunakan oleh pihak tertentu bagi memperoleh tender besar daripada kerajaan sehingga boleh menyumbang kepada ketirisan serta penyelewengan.

Perkara itu didedahkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menerusi satu kaji selidik ke atas data 216 syarikat yang diberikan kontrak oleh beberapa buah kementerian sebelum ini.

Penyelidik bebas, Pushpan Murugiah berkata, berdasarkan kajian dibuat ke atas data 216 syarikat kawalan keselamatan dan syarikat pembersihan tersebut, penemuan kajian mendapati tiada maklumat lengkap syarikat, ahli lembaga pengarah dan pemilikan saham dilampirkan kepada pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, kesemua 216 syarikat yang mendaftar dengan SSM itu gagal mengemukakan maklumat penting tersebut, namun masih berupaya mendapat kontrak daripada pihak kerajaan.

“Apa yang kita dapati daripada pencarian data secara dalam talian menerusi laman sesawang SSM, maklumat penting syarikat, lembaga pengarah dan pemilikan saham tidak dinyatakan di dalam rekod SSM tersebut.

“Perkara ini sangat memeranjatkan apabila syarikat-syarikat ini masih boleh mendapat kontrak daripada pihak kerajaan biarpun tanpa maklumat penuh diberikan bagi mengesahkan status masing-masing secara telus.

“Malah terdapat empat buah syarikat yang langsung tidak memberikan apa-apa maklumat atau ‘zero information’. Jadi cara mereka mendapatkan kontrak kerajaan ini adalah sangat pelik,” katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Rabu.

Sidang akhbar maya anjuran JPKK itu dianjurkan bagi mendedahkan kajian dan dokumentasi berkenaan pemberian kontrak di sekolah dan hospital di negara ini.

Turut serta Koordinator Nasional JPKK, Danial Hakeem Azman dan Setiausaha Nasional JPKK, M Sivaranjani.

Mengulas lanjut, Pushpan berkata, isu ketirisan dan kelemahan yang berlaku dalam penganugerahan kontrak tersebut boleh mengundang kepada berlakunya penyalahgunaan kuasa dan perbuatan rasuah, sekali gus memastikan pihak tertentu memperoleh tender yang ditawarkan oleh kerajaan.

Sehubungan itu katanya, menjadi satu kewajipan dan perkara penting bagi semua pihak untuk memberikan maklumat penuh pendaftaran syarikat di laman sesawang SSM, sekali gus mengelak keraguan dalam kalangan masyarakat awam.

Jelasnya, isu ketelusan adalah sangat penting bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diterima melaksanakan tender kerajaan dan tender tidak dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang mencurigakan.

Tegasnya lagi, Jabatan Urus Setia di setiap kementerian yang diberikan amanah menguruskan tender perlu lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas diberikan.

Menurutnya, kuasa besar yang ada tidak seharusnya digunakan untuk mempengaruhi keputusan pemberian tender.

“Diharap pengaruh ahli politik juga tidak digunakan dalam memperoleh mana-mana tender kerajaan. Biarlah persaingan secara adil dan saksama dilakukan.

“Kita pastinya tidak mahu pekerja menjadi mangsa apabila satu-satu projek kerajaan terbengkalai kerana ketidakupayaan syarikat menjalankan kontrak tersebut akibat kepincangan di dalam syarikat itu sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here