SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa agar warga emas dan penerima vaksin Sinovac mendapatkan janji temu dos penggalak di aplikasi MySejahtera sekarang.
Beliau berkata, ia berikutan golongan tersebut akan kehilangan status lengkap vaksinasi pada 1 April depan sekiranya masih belum menerima dos penggalak.
“34.4 peratus (individu) dewasa masih belum menerima dos penggalak. Lebih kurang 7.5 juta orang. Ini termasuk 835,000 warga emas dan 2.1 juta penerima Sinovac.
“Kumpulan ini akan kehilangan status lengkap vaksinasi pada 1 April jika tidak menerima booster.
“Justeru, tempah janji temu di MySejahtera sekarang,” ciapnya menerusi satu hantaran di Twitternya pada Sabtu.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin sudahpun memberitahu bahawa penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin diberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
Katanya, jika gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.