Home Koronavirus Kanak-kanak tidak divaksin lebih berisiko

Kanak-kanak tidak divaksin lebih berisiko

0
Kanak-kanak tidak divaksin lebih berisiko

BAGAN SERAI – Pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dapat mengelakkan golongan tersebut terdedah dengan gejala serius akibat jangkitan Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kumpulan kanak-kanak ini dianggap berisiko tinggi apabila mereka sentiasa berada dalam kalangan dewasa terutama ibu bapa.

“Peratusan kanak-kanak mendapat gejala termasuk Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) setelah menerima suntikan adalah rendah.

“Malah, peratusan kanak-kanak mengalami anafilaksis akibat daripada suntikan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac juga amat sedikit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelancongan Domestik Mukim Gunung Semanggol di Dataran Kampung Padang Lalang di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan berita palsu berkaitan kesan sampingan suntikan vaksin tersebut.

“Sejak bermula pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mencapai 34.9 peratus, remaja (91.4 peratus) dan dewasa adalah 97.5 peratus manakala dos penggalak pula mencatat 65.3 peratus. Data ini menunjukkan peningkatan tetapi perlahan.

“Negeri Kelantan dan Terengganu mencatatkan peratusan vaksinasi kanak-kanak di bawah 15 peratus manakala, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 67.7 peratus,” katanya.

Noor Azmi berkata, kerajaan menambah 412 pusat pengambilan vaksin (PPV) di seluruh negara sebagai satu inisiatif memudahkan pemberian vaksin.

“Tujuan vaksin kepada kanak-kanak ini adalah untuk mengurangkan simptom serius hingga dimasukkan ke hospital. Kes kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat.

“Kita agak bimbang dengan perkara ini jadi, saya minta ibu bapa memberi kebenaran demi melindungi anak-anak mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here