Home Koronavirus Warga asing sumbang angka Covid-19

Warga asing sumbang angka Covid-19

0
Warga asing sumbang angka Covid-19

SUBANG JAYA – Kedegilan kilang bukan perkhidmatan penting yang masih meneruskan operasi dengan menggajikan warga asing ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dilihat boleh menimbulkan impak negatif ancaman wabak Covid-19 kepada warga tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengetuai operasi Op Patuh di sebuah kilang di Taman Perindustrian Subang, di sini pada Jumaat menegaskan, kilang kejuruteraan keluli terbabit tidak sepatutnya dibuka.

“Saya beritahu kepada pengurusan mereka (kilang) dan ini boleh menimbulkan masalah. Mereka mengaku pada bulan Mac dan April lalu, 90 peratus daripada pekerjanya dijangkiti Covid-19.

“Jika telah lalui hal itu pada Mac dan April lalu dan masih berperangai sebegitu, apa akan jadi kalau kena pusingan kedua varian baharu. Kebanyakan daripada mereka adalah pekerja asing,” katanya kepada pemberita di kilang terbabit pada Jumaat.

Beliau berkata, biar pun warga asing ini memiliki dokumentasi, masalah yang timbul adalah angka positif Covid-19 membabitkan orang luar.

Katanya, katakanlah 400 pekerja didapati positif Covid-19 dan jumlah itu akan termasuk dalam angka jangkitan di negeri Selangor.

“Mereka bukan warga kita dan jadi masalah kita apabila mereka keluar hujung minggu ke pasar raya. Apa akan jadi? Mereka boleh merebakkan penyakit…sporadik.

“Kita kena terima hakikat bahawa yang penting hari ini semua perlu berkorban. Inilah yang saya beritahu pengurusan tadi, berkorbanlah untuk kita turunkan angka jangkitan supaya seiring dengan negeri lain,” ujarnya.

Pelaksanaan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula 2 Julai 2021.

Op Patuh besar-besaran ini akan membabitkan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan yang lebih ketat serta pemantauan yang lebih menyeluruh dengan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here