Home Koronavirus Varian Omicron cetus kebimbangan

Varian Omicron cetus kebimbangan

Varian Omicron cetus kebimbangan

VARIAN Omicron dikesan oleh para saintis di Afrika Selatan pada 25 November lalu dan mencetuskan kebimbangan meluas di kebanyakan negara yang sedang menjalani fasa pemulihan ekonomi.

Menurut kajian saintis itu, varian tersebut boleh bermutasi banyak selain dianggap sangat berbahaya kepada manusia.

Pada awal bulan ini, varian itu dikenali sebagai B.1.1.529 sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukarkan namanya menjadi Omicron.

Ia turut mengklasifikasikan varian itu sebagai membimbangkan manakala penerbangan dari selatan Afrika dilarang memasuki kebanyakan lapangan terbang di dunia.

Di Malaysia, Terengganu merekodkan lapan kes positif Covid-19 melibatkan varian Omicron dengan kesemuanya membabitkan jemaah yang pulang menunaikan umrah di Makkah.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, dua kes jangkitan melibatkan jemaah di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut manakala masing-masing satu kes di Kemaman dan Kuala Nerus.

Sebelum ini media melaporkan sebanyak 58 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 54 kes merupakan jangkitan import dan empat lagi adalah penularan tempatan.

“Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia tidak akan melaksanakan ‘lockdown’ atau perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan varian Omicron di dalam negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan varian itu tidak memberi kesan kepada pemulihan negara.

Dalam pada itu, para saintis di Cyprus percaya mereka telah menemui varian terbaharu Covid-19, pada Isnin.

Sebanyak 25 kes dikesan setakat ini berkaitan varian Deltacron, yang merupakan gabungan antara varian Delta dan Omicron, memetik laporan Bloomberg.

Profesor Sains Biologi Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis memberitahu Sigma TV, terdapat jangkitan yang menggabungkan varian Omicron dan Delta.

Mereka turut mendapati varian tersebut lebih mudah menjangkiti individu yang sedang dirawat di hospital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here