Home Koronavirus Vaksinasi ‘walk-in’ golongan khas akan diperluas ke seluruh negara

Vaksinasi ‘walk-in’ golongan khas akan diperluas ke seluruh negara

0
Vaksinasi ‘walk-in’ golongan khas akan diperluas ke seluruh negara

PUTRAJAYA – Inisiatif vaksinasi jumpa terus atau ‘walk-in’ yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang akan diperluaskan ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam di seluruh negara untuk golongan khas dalam masa terdekat, menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

CITF memaklumkan vaksinasi jumpa terus tanpa janji temu itu dikhususkan untuk kumpulan tertentu iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang berhampiran dengan kediaman dan sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin daripada jenis yang sama dengan dos pertama mereka, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

“Perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan oleh CITF Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

CITF memberitahu, jumlah ‘walk-in’ harian adalah bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV dan bagi individu yang tidak berpeluang mendapat vaksinasi pada hari tersebut ekoran kehabisan bekalan vaksin di PPV, nama mereka akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokannya.

Jelasnya, inisiatif ‘walk-in’ kepada warga emas telah dimulakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak termasuk Kelantan yang membuka secara pratempahan.

Bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, tetapi ingin datang terus untuk dos pertama kerana tiada janji temu, mereka perlu pergi ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini.

Menurut CITF, ‘walk-in’ ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini juga dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya pada jam 2 petang.

Bagi wanita hamil, CITF menyatakan golongan ini tidak digalakkan untuk jumpa terus, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) ke PPV yang bersesuaian.

CITF juga menyeru orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan keselamatan di PPV. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here