Home Koronavirus Vaksin, SOP ‘kunci’ bendung trend kes harian tinggi di Sabah

Vaksin, SOP ‘kunci’ bendung trend kes harian tinggi di Sabah

0
Vaksin, SOP ‘kunci’ bendung trend kes harian tinggi di Sabah

KOTA KINABALU – Kes harian Covid-19 yang tinggi di Sabah sehingga mencecah empat angka sejak kebelakangan ini dengan 3,376 kes dicatat pada Selasa sememangnya amat meresahkan rakyat di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keresahan rakyat itu amat difahami kerajaan negeri dan meningkatkan kadar vaksinasi dilihat mampu menjadi ‘kunci’ utama mengekang trend kes harian tinggi itu.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, selain vaksinasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan rakyat terutama ketika berada di kawasan awam juga memainkan peranan penting ketika Sabah berdepan corak jangkitan sporadik ketika ini.

“Hampir seluruh dunia melihat vaksin sebagai kunci menurunkan jumlah jangkitan Covid-19 dan dalam masa yang sama pematuhan kepada SOP, jadi ini perlu menjadi fokus utama (bagi menyekat trend kes tinggi).

“Jumlah kes akan menurun apabila jumlah penduduk yang telah divaksin sampai kepada satu jumlah yang signifikan dan pematuhan SOP tinggi. Ini kerana jumlah mereka yang boleh dijangkiti Covid-19 akan berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, setakat Isnin, lebih 1.47 juta penduduk negeri ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 854,228 penduduk telah menerima dos kedua vaksin itu manakala lebih 1.52 juta penduduk telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Masidi berkata, angka itu menunjukan lebih 30 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah telah memperoleh dua dos lengkap vaksin Covid-19 manakala 52.4 peratus telah memperoleh dos pertama.

Ditanya tentang keberkesanan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah termasuk 23 lokaliti yang dikenakan PKPD di negeri itu semalam, Masidi berkata ia cuma langkah jangka pendek mengatasi pandemik itu.

“PKPD sekadar kaedah jangka pendek untuk mengekang peluasan penularan Covid-19 ke kawasan lain, PKPD masih berkesan, jangkitan berlaku secara terpencil di lokasi-lokasi tertentu…vaksinasi dan pematuhan SOP merupakan langkah terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kes didaftarkan lewat juga menjadi antara punca kes harian tinggi di Sabah dengan semalam sahaja, 1,102 atau 44.5 peratus kes didaftar lewat antara dua hingga tiga hari, 254 kes atau 10.7 peratus empat hingga lima hari dan 311 kes atau 12.6 peratus kes lebih lima hari.

“Bukan semua kes yang dilaporkan pada hari tersebut berlaku dalam tempoh 24 jam, ini sebuah tanggapan yang perlu diperbetul, kita jangkakan kes belum didaftarkan ini akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Beberapa penduduk yang ditemui sependapat dengan Masidi bahawa vaksinasi dan pematuhan SOP yang ketat adalah kunci bagi mengekang trend peningkatan kes harian di Sabah.

Muhamamad Rozi Lazim, 45, seorang penghantar makanan berkata, dia bimbang dengan laporan yang mengatakan saringan kontak rapat menyumbang kepada kes tertingggi harian di Sabah kerana ia menunjukkan jangkitan mudah merebak antara individu kepada individu lain.

“Kerja setiap hari jumpa orang seperti saya memang merisaukan, kerana itu saya dan rakan penghantar lain cepat-cepat dapatkan vaksin dan amat patuh kepada SOP, cara jangkitan kontak rapat ini memang cepat merebak,” katanya yang tinggal di Kepayan di sini.

Pada Isnin 1,609 kes atau 65 peratus daripada kes harian dikesan melalui saringan kontak rapat manakala 1,640 kes atau 62.2 peratus (Ahad) dan 1,612 kes atau 60.8 peratus (Sabtu).

Angelina Vivian Linus, 27, seorang kerani syarikat pencetakan berkata, kapasiti tinggi vaksinasi melebihi 60,000 dos sehari yang mampu diberikan di Sabah kini perlu diteruskan bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin.

“Sasaran 60 peratus penduduk divaksin pada September depan bagi saya sasaran yang amat baik dan dapat dicapai, tetapi bekalan vaksin itu kena ada…saya lihat sekarang jentera memberi vaksin itu sudah berjalan lancar cuma pastikan bekalan cukup,” katanya yang berasal dari Likas. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here