Home Koronavirus USM buku kisah Covid-19

USM buku kisah Covid-19

0
USM buku kisah Covid-19

Dr Wan Faiziah (kiri) menunjukkan buku Covid-19, Impak Kesihatan dan Norma Baharu Kehidupan yang disunting bersama dua lagi rakan di USM.

KOTA BHARU – Tiga pakar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) bergabung membantu penghasilan buku bertajuk Covid-19, Impak Kesihatan dan Norma Baharu Kehidupan.

Buku tersebut mengisahkan pengalaman petugas Covid-19 berdepan kesukaran dan pelbagai isu kesan penyakit itu terhadap pesakit dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Wakil editor buku berkenaan, Pakar Perunding Patologi, Prof Madya Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman berkata, bukan mudah menyunting buku kerana ada kalanya kecewa apabila perlu diubah beberapa kali.

“Sepanjang tempoh itu, kami kepenatan dan boleh diibaratkan seorang wanita yang sarat mengandung dengan tugas berat.

“Pada mulanya kami serik untuk menghasilkan buku lain tetapi melihat kejayaan penerbitan naskhah ini mengubah persepsi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dua lagi editor yang turut membantu penghasilan buku yang menjadi rujukan dalam perubatan dan sosial itu ialah Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Prof Dr Azidah Abdul Kadir dan Pensyarah Kanan, Jabatan Farmakologi USM, Dr Ruzilawati Abu Bakar.

Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin berkata, penerbitan buku berkenaan bertujuan menyampaikan informasi sahih berkaitan koronavirus.

Tambah beliau, penerbitan buku itu merupakan idea daripada editor dan ahli jawatankuasa Laman Sesawang Sumber Informasi Perubatan Covid-19 (SIPC).

“Melalui buku ini kami mahu berkongsi pelbagai informasi serta kajian mengenai koronavirus walaupun banyak lagi bidang perubatan yang perlu diterokai dan dikenal pasti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here