KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memperkasakan program suntikan vaksin secara pandu lalu bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin sekali gus membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Hospital Pengajar UniSZA, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him yakin program dirancang dapat dijayakan dengan kekuatan kakitangan dan bekalan vaksin yang mencukupi.
“Selain program masuk kampung untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan sasar, kita juga berhasrat untuk memperkasakan suntikan vaksin secara pandu lalu bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini di Terengganu
“Kita mempunyai 535 perjawatan telah diisi melibatkan 140 jururawat dan 40 pegawai perubatan. Tenaga ini mampu menjalankan fungsi pemberian vaksin dan program ‘outreach’ kerana hospital kita masih belum beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Hospital Pengajar UniSZA kini di peringkat akhir pembinaan dan dijangka beroperasi sebelum akhir tahun ini.
UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membantu kerajaan menjayakan PICK.