Home Koronavirus Tujuh kluster institusi pendidikan direkodkan di Sabah

Tujuh kluster institusi pendidikan direkodkan di Sabah

0
Tujuh kluster institusi pendidikan direkodkan di Sabah

KOTA KINABALU – Tujuh kluster melibatkan institusi pendidikan dikesan di negeri ini sejak minggu lepas hingga Rabu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia berdasarkan saringan kontak rapat dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan penghuni asrama di enam sekolah di negeri ini.

Beliau berkata, Kluster Jalan Teritipan di Kota Marudu ialah kluster institusi pendidikan direkodkan pada Rabu dengan 44 kes positif, manakala dua lagi ialah Kluster Jalan Binunuk di Beaufort dan Papar (kluster tempat kerja/14 kes positif) dan Kluster Montenior di Beaufort dan Kuala Penyu (kluster tempat kerja/43 kes).

“Kes indeks Kluster Jalan Teritipan ialah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 di Kota Marudu disahkan positif pada Ahad lepas (23 Jan). Semua pelajar sekolah yang bergejala ringan telah diasingkan untuk rawatan sewajarnya.

“Kluster baharu institusi pendidikan itu menjadi antara penyumbang utama kes harian di Sabah sekali gus menjadikan Kota Marudu sebagai daerah merekodkan kes baharu tertinggi sebanyak 64 kes hari ini,” kata jurucakap Covid-19 Sabah itu dalam kenyataan pada Rabu.

Pada minggu lepas, Sabah merekodkan lima kluster Covid-19 melibatkan penularan jangkitan dalam institusi pendidikan iaitu di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan (Kluster Bypass Kologon) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).

Pada Selasa, kluster keenam di Tawau (Kluster Jalan Balung) direkodkan dengan 18 kes terdiri daripada pelajar asrama SMK Balung di Tawau, manakala Kluster Jalan Teritipan merupakan kluster ketujuh institusi pendidikan dikesan sejak minggu lepas.

Mengenai Kluster Jalan Binunuk, Masidi berkata, kluster itu berpunca selepas kes indeks seorang wanita yang juga kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berumur 34 tahun disahkan positif pada 22 Jan dengan jumlah kumulatif 14 kes setakat ini.

“Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja dan ahli keluarga kes indeks mendapati 13 orang lagi dijangkiti,” katanya, sambil menambah, jangkitan dipercayai berpunca daripada mesyuarat melibatkan jumlah ramai dalam satu fasiliti sama.

Bagi Kluster Montenior, Masidi berkata, kluster itu melibatkan kes indeks seorang petugas kesihatan wanita berumur 37 tahun dari Kuala Penyu yang disahkan positif pada 12 Jan, dan 43 kes positif dikesan setakat ini.

“Saringan kontak rapat mendapati 24 orang daripada generasi pertama; 17 orang (generasi kedua); dan dua orang (generasi ketiga) juga telah dijangkiti. Mereka terdiri daripada rakan sekerja dan ahli keluarga kes indeks. Semua yang terlibat telah dikuarantin untuk menjalani rawatan,” katanya.

Sebanyak 335 kes baharu direkodkan pada Rabu dengan 330 kes daripadanya dalam kategori satu dan dua; tiga kes (kategori tiga); dan masing-masing satu kes dalam kategori empat dan lima. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here