Home Koronavirus Tiga lagi kluster pendidikan direkod di Sabah

Tiga lagi kluster pendidikan direkod di Sabah

0
Tiga lagi kluster pendidikan direkod di Sabah

KOTA KINABALU – Tiga lagi kluster baharu melibatkan institusi pendidikan direkodkan di Sabah hari ini dengan satu di daerah Kota Belud dan dua di Ranau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, Kluster Batu Enam di Kota Belud melibatkan pelajar asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 berusia 15 tahun mula bergejala pada 9 Februari dan didapati positif keesokan harinya menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 19 setakat Khamis.

“Sementara kluster di Ranau iaitu Kluster Jalan Sugut melibatkan seorang guru wanita di SMK Ulu Sugut berusia 39 tahun dikesan melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, saringan terhadap kontak rapat mendapati lebih ramai didapati positif dan jumlah keseluruhan yang terlibat ialah 49 kes.

Selain itu, Kluster Kemburongoh 2 Ranau pula melibatkan seorang pengawal keselamatan SMK Kemburongoh berusia 52 tahun dikesan positif melalui saringan bergejala pada 7 Februari dan hasil saringan terhadap kontak rapat mendapati jumlah kumulatif yang positif ialah 54 kes setakat ini.

“Semua kluster berkenaan telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya sementara kontak rapat yang tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.

Sementara itu, jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah pada Khamis adalah 4,794 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 292,545 kes dengan 14 kes kematian dilaporkan.- Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here