Home Koronavirus Tiga beradik teruja terima suntikan vaksin kanak-kanak

Tiga beradik teruja terima suntikan vaksin kanak-kanak

0
Tiga beradik teruja terima suntikan vaksin kanak-kanak

ALOR SETAR – Tiga beradik teruja apabila menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di sini pada Isnin.

Pelajar tahun empat, Umar Achmad Rachmad Kurniawan, 11, berkata, dia menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama dua adik perempuannya, iaitu Umairah, 9, dan Umaimah,7, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Pada mulanya, saya agak gementar untuk menerima suntikan, bagaimanapun lama-kelamaan perasan takut hilang dan saya rasa agak teruja.

“Rupa-rupanya suntikan vaksin tidak sakit dan seolah-olah digigit nyamuk sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran PICKids Peringkat Kedah di HSB, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin dan Ketua Jabatan Pakar Perunding dan Perubatan Remaja HSB, Dr N Thigayar.

Sementara itu, ibu mereka, Nurul Alimin Mustafa, 42, berkata, tiga daripada empat anaknya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak.

Katanya, dia lebih yakin untuk membawa anaknya keluar bersama selepas mereka menerima suntikan vaksin, malah tidak lagi berasa bimbang untuk menghantar mereka ke sekolah.

“Melalui suntikan ini, mereka akan mendapat perlindungan daripada virus dan program suntikan vaksin ini sememangnya bagus untuk melindungi anak kita,” katanya.

Nurul Alimin memberitahu, anak-anaknya sendiri memang mahukan suntikan vaksin dan bertanyakan tentang perkara itu kepada dirinya pada Ahad.

Dalam pada itu, suri rumah, Rusmina Ibrahim, 49, memberitahu, anak keenamnya, Firiyal Bostomi, 7, antara kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Dengan ini, saya berasa lebih yakin dan selamat untuk menghantar anak ke sekolah disebabkan dia mendapat suntikan vaksin sekali gus dapat mencegah daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun di Kedah akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh enam bulan.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, sebanyak 33,930 pendaftaran kanak-kanak telah diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksinasi di Kedah.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Kuala Muda mencatatkan pendaftaran tertinggi sebanyak 10,938, manakala Bandar Baharu paling rendah dengan 478 pendaftaran buat masa ini.

Othman memaklumkan, terdapat empat pusat pemberian vaksin khas (SPPV) untuk kanak-kanak memiliki tahap imuniti rendah dan komorbiditi di Kedah iaitu HSB, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Maliha.

“Kita juga akan memulakan suntikan PICKids ini di klinik kesihatan dan pusat pemberian vaksin (PPV) ‘offsite’ yang masih beroperasi di Kedah, selain itu akan diadakan PPV ‘outreach’ ke sekolah-sekolah bagi memudahkan akses dan meningkatkan liputan suntikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here