Home Koronavirus Tiada pelancong China dikesan positif Covid-19 setakat ini

Tiada pelancong China dikesan positif Covid-19 setakat ini

0
Tiada pelancong China dikesan positif Covid-19 setakat ini

Tunku Shazuddin Ariff ( tengah) menyaksikan penyerahan projek Hospital Pendang antara Alexander Nanta Linggi dan Dr Zaliha.

PENDANG – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada pelancong dari negara China yang tiba di negara ini dikesan positif Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berdasarkan rekod yang diperolehi ketika pemeriksaan dilakukan terhadap semua penumpang dari negara itu yang tiba di tanah air sejak 8 hingga 10 Januari lalu.

Katanya, pada 8 Januari kira-kira 4,000 pelancong tiba ke Malaysia dan setakat ini jumlah pelancong yang masuk adalah seramai 7,192 orang.

“Tiada langsung kes jangkitan atau bergejala yang dikesan di pintu masuk.

“Status ketika ini sangat baik, daripada apa yang dilalui, kita bukan sahaja mengambil langkah berjaga-jaga melibatkan pelancong China tetapi juga dari negara lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM di sini pada Khamis.

Menurutnya, situasi itu turut membuktikan belum ada keperluan bagi kerajaan menutup pintu masuk sempadan negara buat masa ini.

“Keadaan jangkitan Covid-19 dalam negara juga terkawal hasil jumlah saringan yang tinggi dilakukan setiap hari.

“Jumlah saringan kita mencecah belasan ribu, menunjukkan ada kesedaran dalam kalangan rakyat tentang keperluan saringan Covid-19,” katanya.

Dr Zaliha menambah, angka jangkitan Covid-19 dalam negara juga mencatatkan kurang 500 kes iaitu jumlah positif yang semakin hari semakin rendah.

Dalam pada itu, Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang disempurnakan oleh Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr Zaliha disaksikan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hospital Pendang yang dibina dengan kos keseluruhan RM255.27 juta siap sepenuhnya pada 13 Oktober 2022 dan akan memulakan operasinya pada 15 Februari ini.

Hospital pakar minor ini akan menempatkan 10 bidang kepakaran antaranya perubatan am, pembedahan am, obstetrik dan ginekologi serta ortopedik.

KKM juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta bagi melaksanakan perolehan mesin CT Scan tahun ini.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here