Home Koronavirus Joachim ambil alih tugas Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah

Joachim ambil alih tugas Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah

0
Joachim ambil alih tugas Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah

Joachim – Foto Bernama

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Dr Joachim Gunsalam akan mengambil alih tugas sebagai menteri penyelaras pengurusan Covid-19 di Sabah daripada Datuk Seri Masidi Manjun yang menggalas tanggungjawab itu sebelum ini, bermula Jumaat.

Masidi yang kini Menteri Kewangan susulan rombakan Kabinet Sabah berkata, langkah itu selaras dengan perubahan portfolio dalam Jemaah Menteri Kerajaan Sabah selepas Joachim dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, portfolio yang sebelum ini disandang Masidi.

Masidi dalam kenyataan pada Khamis menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengurusan Covid-19 di Sabah khususnya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Sabah, petugas kesihatan, anggota keselamatan, Sekretariat Covid-19 di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan semua pejabat daerah.

“Penghargaan khusus kepada semua pengamal media yang banyak membantu saya menyebarkan maklumat penting mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah sejak saya menggalas tanggungjawab itu lebih dua tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan Covid-19 terakhir beliau pada Khamis, Masidi memaklumkan Sabah mencatatkan angka jangkitan terendah sejak 3 Sept 2020 apabila merekodkan hanya enam kes baharu hari ini.

“Kadar positiviti juga rendah iaitu 0.46 peratus dengan sampel ujian berjumlah 1,295,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here