Home Koronavirus Tiada jaminan Skuad Harimau Malaya terima vaksin sebelum ke UAE: Reezal

Tiada jaminan Skuad Harimau Malaya terima vaksin sebelum ke UAE: Reezal

0
Tiada jaminan Skuad Harimau Malaya terima vaksin sebelum ke UAE: Reezal

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak dapat memberi jaminan buat skuad Harimau Malaya untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi melengkapkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan senarai atlet perlu diberi keutamaan pada fasa seterusnya untuk pertimbangan Jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, senarai itu meliputi tiga kumpulan terdiri daripada lebih 4,000 atlet dan pegawai, termasuk lebih 1,000 individu seperti pemain bola sepak Liga-Malaysia, pemain hoki serta atlet yang bakal menyertai kejohanan di dalam dan luar negara dalam kumpulan kedua.

“Saya sedang usahakan untuk vaksin bagi kumpulan kedua, tetapi bergantung kepada bekalan. Saya tak dapat nak mengatasi apa yang diuruskan oleh pihak jawatankuasa program imunisasi kebangsaan dan saudara Khairy, jadi kumpulan ini akan menerima apabila adanya bekalan.

“Kumpulan kedua ini agak besar, mereka terpaksa merentas negeri dan berada dalam sports bubble (gelembung sukan). Jadi seandainya mereka mendapat vaksin sudah tentunya tugas mereka menjadi lebih mudah,” katanya selepas menerima vaksin bersama-sama kumpulan pertama atlet di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras di sini pada Selasa.

Skuad bola sepak kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe dijangka memulakan kem latihan pusat bermula 16 Mei, sebelum berlepas ke UAE untuk aksi menentang tuan rumah pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan berdepan Thailand (15 Jun) dalam memburu slot ke saingan Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kumpulan pertama 264 individu, termasuk 93 atlet normal dan 35 atlet para yang sudah dan sedang berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech, pada Selasa.

Mereka dijadual menerima suntikan dos kedua pada 4 Mei, kecuali pasukan terjun negara yang akan menerimanya selepas pulang daripada Piala Dunia Terjun di Tokyo, Jepun bermula 1 hingga 6 Mei, yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat kesan sampingan dan isu daripada suntikan itu.

Sukan Olimpik akan berlangsung dari 23 hingga 8 Ogos, diikuti Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos hingga 5 September. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here