Home Koronavirus Tetapkan paras baharu harga siling kit ujian kendiri Covid-19

Tetapkan paras baharu harga siling kit ujian kendiri Covid-19

0
Tetapkan paras baharu harga siling kit ujian kendiri Covid-19

ALOR SETAR – Kerajaan diharap dapat menetapkan paras baharu harga siling kit ujian kendiri Covid-19 hingga serendah RM10 bagi satu set yang dijual kepada pengguna di pasaran.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, ia susulan harga kit ujian kendiri didapati dijual lebih rendah di farmasi dan kedai tertentu berbanding harga kawalan ditetapkan RM19.90 di peringkat runcit dan RM16 di peringkat borong.

Beliau mendapati harga kit ujian Covid-19 yang dijual di farmasi dan kedai tertentu di sekitar Bandaraya Alor Setar, di sini hanya mencecah antara RM6 hingga RM9 sahaja bagi satu set.

“Ada farmasi menjual kit ujian kendiri Covid-19 pada harga sekitar RM6 lebih dan ada yang menjual kit jenama sama pada harga RM8.50 yang mana ia dirasakan masih mampu milik.

“Jadi, sekiranya ada farmasi menjual pada harga sekitar RM8 maka berkemungkinan mereka mendapat bekalan barangan berkenaan pada harga lebih rendah,sekali gus harga siling ini boleh diturunkan sehingga RM10 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusrizal memberitahu, beliau tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung kenaikan harga pelbagai jenis kit ujian kendiri yang dijual di pasaran ketika ini.

“Namun, ada premis di kawasan luar bandar berkemungkinan menjual kit ujian kendiri Covid-19 pada harga runcit RM19.90 seperti ditetapkan disebabkan terpaksa mendapatkan bekalan jauh dari kawasan bandar,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna supaya bijak berbelanja dengan membuat perbandingan dan membeli kit ujian kendiri Covid-19 pada harga rendah di farmasi terpilih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here