IPOH – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini mula menerima individu berusia 18 tahun ke atas untuk divaksin tanpa janji temu.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada di PPV berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu juga berdasarkan kapasiti sedia ada yang boleh ditampung PPV Stadium Indera Mulia dalam menerima individu untuk divaksin.
“Ya, kita telah membuat keputusan tersebut dengan segera berdasarkan ketersediaan vaksin dan kemampuan kapasiti PPV Stadium Indera Mulia ketika ini.
“Kita akan sentiasa melihat keperluan berkenaan dari masa ke masa bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dan kehadiran terlalu ramai orang di PPV berkenaan,” katanya kepada pemberita menerusi satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai makluman menerusi seorang pengguna Twitter yang berkongsi tangkap layar perbualan bahawa PPV Stadium Indera Mulia menerima individu berusia 18 tahun ke atas pada Ahad.
Pada 14 Ogos lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan kerajaan negeri masih memutuskan sama ada untuk memperluaskan pemberian vaksin tanpa janji temu kepada individu bukan warga emas di negeri ini.
Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada jumlah vaksin yang diterima mengikut jadual serta sasaran pemberian bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak di PPV.
ARTIKEL BERKAITAN: Perak kemuka cadangan segera vaksin pekerja restoran, hotel