Home Koronavirus Johor tambah PPV bergerak, sasar lebih ramai divaksin

Johor tambah PPV bergerak, sasar lebih ramai divaksin

0
Johor tambah PPV bergerak, sasar lebih ramai divaksin

JOHOR BAHRU – Tujuh lagi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak akan ditambah di negeri ini sebelum akhir bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya sudah meminta Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berbuat demikian sebagai tambahah kepada 13 PPV sedia ada.

Beliau yang juga Pengerusi bersama CITF berkata, pertambahan tersebut bagi meningkatkan keupayaaan PPV bergerak dan menyokong program jangkauan luar (outreach) yang dijalankan.

“Kita harap dengan adanya 20 PPV berkenaan akan membantu mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat negeri ini khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“CITF Johor akan memberi komitmen penuh membantu program jangkauan luar bagi meningkatkan proses vaksinasi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin di Austin International Convention Centre (AICC) di Taman Mount Austin di sini pada Ahad.

Katanya, sehingga Sabtu, seramai 175,360 rakyat Johor sudah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak seluruh negeri.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 89,263 daripadanya menerima suntikan dos pertama manakala 86,097 sudah lengkap divaksin.

“Secara keseluruhan, sebanyak 261,457 dos vaksin telah diberi di 13 PPV berkenaan. Apabila jumlahnya ditambah kepada 20, saya percaya lebih ramai rakyat Johor di kawasan luar bandar akan dapat divaksin dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, terdapat 364 PPV di negeri ini yang menawarkan pelbagai jenis vaksin antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here