Home Koronavirus Terima 1.2 juta vaksin, Kelantan bakal capai imuniti kelompok

Terima 1.2 juta vaksin, Kelantan bakal capai imuniti kelompok

0
Terima 1.2 juta vaksin, Kelantan bakal capai imuniti kelompok

TUMPAT – Kelantan bakal mencapai imuniti kelompok menjelang hujung September ini apabila kerajaan Persekutuan bersetuju membekalkan 1.2 juta dos vaksin untuk disuntik kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, dengan pemberian vaksin tersebut, Kelantan akan mencapai imuniti kelompok sebanyak 80 peratus.

“Terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana meluluskan 1.2 juta dos kepada Kelantan.

“Sebelum ini kami minta 1 juta dos sahaja,” katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan ke Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut di sini pada Khamis.

Menurutnya, setakat ini, Kelantan hanya mempunyai 585,000 dos vaksin dengan purata suntikan harian ialah sekitar 30,000 dos setiap hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir itu berkata, sebagai contoh pada Rabu sebanyak 36,394 dos berjaya disuntik di seluruh negeri.

Beliau berkata, jajahan Jeli sudah mencapai 80 peratus imunisasi kelompok manakala Machang 70 peratus.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, seramai 2,340 penduduk dari Kampung Kampung Laut, Palekbang, Gerong dan kawasan sekitar akan menerima suntikan melalui program outreach itu.

“Pemberian vaksin itu merupakan salah satu persiapan yang dilakukan untuk menghadapi musim tengkujuh kerana kawasan tersebut sering ditenggelami banjir.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan sosial menerusi amalan norma baharu,” katanya.

Ahmad berkata, SOP itu merupakan salah satu bentuk pencegahan dalam melawan dan memutuskan pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here