Home Koronavirus Syor masukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit

Syor masukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit

0
Syor masukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit

MELAKA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat mempertimbangkan cadangan memasukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu bagi melayakkan golongan ibu bapa terutamanya petugas kesihatan untuk mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari bagi menjaga anak-anak mereka yang dikuarantin kerana positif Covid-19.

“Saya percaya jika anak mereka positif, tiada siapa yang mahu menjaga sepanjang kuarantin tersebut dan jika anak yang positif tetapi perlu dikuarantin sehingga tujuh ke 10 hari ibu bapa ini perlu mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak mereka.

“Adalah tidak adil jika mereka terpaksa bekerja atau pun mengambil cuti tahunan bagi menjaga anak-anak yang positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pada Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tanpa gejala tidak perlu menjalani kuarantin dan mereka perlu menjalani ujian saringan pada hari tertentu.

Khairy berkata, pekeliling mengenai SOP baharu itu telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 11 Februari lalu.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, beliau menyambut baik cadangan perubahan SOP itu kerana ini merupakan langkah baik ke arah memasuki fasa endemik.

“Namun saya mohon agar KKM mempertimbangkan semula dan boleh mengubah sedikit SOP yang telah dinyatakan.

“Perkara itu sekali gus akan dapat memberikan kelegaan kepada petugas barisan hadapan yang telah lama berkorban untuk menjaga kesihatan awam rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here